Jangan ada PKP lagi - Utusan Malaysia

Jangan ada PKP lagi

ANGGOTA polis membuat sekatan jalan raya berikutan pelaksanaan kawalan rentas daerah di seluruh negeri Sabah berkuat kuasa 3 hingga 16 Oktober. – MINGGUAN/FAUZAN AZIMA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Oleh MOHD. FADHLI MOHD. SULAIMAN
[email protected]

 

KUALA LUMPUR: Kes Positif Covid-19 mencatatkan rekod tertinggi sejak penularan wabak itu dengan 317 kes semalam, namun Perdana Menteri memberi jaminan keadaan masih terkawal.

Cuma kata Tan Sri Muhyiddin, rakyat perlu bertenang dengan mematuhi segala prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerana biarpun kes meningkat tetapi ia telah dikenal pasti dan dalam kawalan.

Oleh itu, orang ramai diminta tidak panik dan kekal berada dalam rumah bagi mengelakkan jangkitan atau penularan kecuali jika terdapat keperluan.

“Jangan sampai berlaku PKP sekali lagi.”

Demikian nada tegas disua­rakan penganalisis ekonomi, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Prof. Madya Dr. Nuradli Ridzwan Shah Mohd. Dali yang berpendapat, rak­yat sudah tidak mampu berdepan situasi sukar, terutama kehila­ngan kerja, demi memastikan ‘dapur dapat berasap’ untuk keluarga jika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berlangsung Mac lalu dilaksanakan semula.

Ketika ini, ekonomi negara berada dalam landasan pemulihan lantunan drastik berbentuk ‘V’ bagi beberapa sektor selepas ekonomi dibuka semula bermula Mei lalu meskipun menca­tatkan penguncupan mendadak suku kedua tahun ini.

Namun, beliau menjangka­kan, aliran ekonomi negara mungkin menuju fasa mendatar atau berbentuk ‘L’ yang merupakan fasa paling teruk Dalam ekonomi negara jika kerajaan mengembalikan se­mula PKP.

Makna kata, ekonomi negara hanya bergerak mendatar selepas menjunam malah kerosakan ekonomi yang berlaku dalam peringkat ini bersifat kekal. Jika pun cuba untuk bangkit kembali, mungkin mengambil masa beberapa tahun.

Oleh itu, bagi mengelakkan keadaan tersebut berlaku, jalan terbaik yang dilihat setakat ini adalah melaksanakan PKP secara bersasar iaitu hanya tertumpu kepada kawasan atau negeri yang diisytiharkan zon merah, bukannya seluruh negara.

“Jika dilaksanakan sekali lagi, ekonomi akan terjejas te­ruk” katanya kepada Mingguan Malaysia semalam.

Senada dengan kenyataan itu, Pensyarah Kanan Ekonomi, Universiti Sains Malaysia (USM), Dr. Abdul Rais Abdul Latiff menyarankan semua pihak berganding bahu berdepan si­tuasi ini.

“PKP memberi kesan sangat jelas kepada ekonomi domestik termasuk makro dan mikro. Jika ada lagi PKP, sudah tentu ekonomi domestik mengalami penyusutan teruk dan memberi kesan kepada kesejahteraan hidup masyarakat terutamanya golongan B40 dan M40 dalam menjalani kehidupan,” katanya.

Dalam keadaan negara terpaksa berdepan peningkatan se­mula kes Covid-19, ramai yang bimbang PKP kali kedua akan dikuatkuasakan selepas berakhirnya arahan tegas itu 31 Mac lalu.

Seakan mimpi ngeri kerana umum mengetahui dalam tempoh tersebut, semua sektor termasuk premis perkhidmatan makanan tidak boleh bero­perasi melainkan yang ter­senarai dalam kategori per­khid­matan penting seperti pusat kesihatan dan pasar raya.

Malah, orang ramai dikehendaki terus kekal berada di dalam rumah bagi mengelak wabak Covid-19 terus berjangkit kecuali terdapat kepenti­ngan untuk ke luar bagi tujuan membeli barangan keperluan dan makanan asas.

Biarpun Menteri Kanan (Ke­selamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menegaskan PKP tidak akan dilaksanakan semula, rasa bimbang rakyat tetap ada kerana kes mencecah tiga digit dan semakin menular ke banyak negeri.

Jika PKP ‘muncul kembali’, sebenarnya ekonomi negara sudah ‘mengah’ untuk naik kembali kerana seisi rumah, peniaga dan majikan tidak lagi mampu menampung daya imuniti kewangan masing-masing.

Jika itulah jalan penyelesai­an yang kerajaan ada, ini sekali gus ‘menghalang semua orang untuk bekerja’ menyebabkan sumber pendapatan semakin berkurang malah lebih teruk, bagi golongan berpendapatan rendah (B40), tiada jaminan untuk kebajikan mereka terjaga melainkan hanya bergantung dengan bantuan yang disediakan kerajaan.

Bagaimanapun ramai boleh menarik nafas lepada bila Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sudah memaklumkan situasi pada masa ini adalah terkawal dan masih dapat dibendung.

Andai kerajaan memutuskan pelaksanaan PKP, orang ramai sudah tiada pilihan me­lainkan akur dengan keputusan itu. Jika ya, sudah pasti ekonomi negara akan menguncup yang memberi kesan kepada semua pihak lebih-lebih lagi apabila komitmen pekerja melebihi pendapatan. Ini ditambah penangguhan bayaran secara automatik atau moratorium 30 September lalu.

Tidak cukup dengan masalah wabak, ia juga menjurus kepada berlakunya kes kemurungan dan kebimbangan yang melampau.

Di Singapura sahaja, lebih 100,000 pekerja Malaysia yang terkandas sejak sempadan antara kedua-dua negara ditutup sejak 24 Mac lalu. Genap tujuh bulan sempadan ditutup, kesemua mereka terus tertekan akibat kos sara hidup yang tinggi iaitu hampir RM15,000 sebulan bagi 13 isi rumah di sebuah pangsapuri di negara itu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN