KUALA LUMPUR: Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) akan turut mengambil alih kilang milik FGV Holdings Berhad (FGV), selain menamatkan Perjanjian Pajakan Tanah (LLA) dengan syarikat itu.
Menurut Pengerusi Pasukan Petugas Khas pemulihan agensi itu, Tan Sri Abdul Wahid Omar, pengambilan tanah ladang LLA seluas 351,000 hektar itu mesti bersekali dengan kilang yang ada dan perkara tersebut akan dibincangkan dengan lebih lanjut bersama pengurusan FGV.
Beliau berkata, perbincangan juga membabitkan bayaran pampasan kepada FGV dan membayangkan jumlahnya lebih rendah berbanding jangkaan antara RM3.5 bilion hingga RM4.3 bilion dibuat oleh FGV.
“Perjanjian Pajakan Tanah telah menyatakan dengan jelas berkenaan perkara itu, tetapi pampasan yang perlu dibayar lebih rendah daripada apa yang dinyatakan, ia akan dibincangkan lebih lanjut dengan FGV,” katanya kepada pemberita selepas taklimat khas kepada editor media massa di sini, semalam.
Yang turut hadir, Pengerusi Felda, Datuk Seri Idris Jusoh.
Dalam kenyataannya kelmarin, FGV menjangka jumlah pampasan yang perlu dibayar oleh Felda kerana menamatkan perjanjian LLA adalah antara RM3.5 bilion hingga RM4.3 bilion. Jumlah itu mungkin lebih tinggi, sekiranya Felda turut mengambil alih kilang syarikat berkenaan.
Menurut laman web FGV, syarikat itu mempunyai 197 ladang dan 68 kilang di seluruh negara dengan memproses lebih 14 juta tan metrik buah tandan segar setahun.
Dalam pada itu, Abdul Wahid berkata, buat masa ini pasukan berkenaan tiada cadangan kepada Felda untuk melupuskan pegangan saham sebanyak 33.66 peratus dalam FGV.
Mengenai hasil terbitan sukuk sebanyak RM9.9 bilion oleh Felda, beliau berkata, sebahagiannya akan digunakan untuk membayar semula hutang agensi berkenaan yang berjumlah RM10.6 bilion dan selebihnya digunakan sebagai modal operasi.
Ditanya sama ada penerbitan sukuk yang dijamin oleh kerajaan itu merupakan satu bentuk ‘bail-out’, beliau sebaliknya menjelaskan, pendapatan Felda berkurangan selepas penyenaraian FGV pada 2012 sehingga menyebabkan agensi itu terpaksa membuat pinjaman kepada institusi kewangan bagi membiayai pelbagai kos termasuk bantuan berterusan kepada peneroka.
Beliau turut membangkitkan model perniagaan Felda sebelum ini yang memberikan bantuan dalam tempoh terlalu lama kepada peneroka sehingga membebankan mereka dan agensi berkenaan.
Menjawab sama ada penyenaraian FGV satu kesilapan kepada Felda, beliau sebaliknya berkata: “Saya tak kata, anda yang kata. Yang saya kata, selepas penyenaraian, pendapatan yang kita patut dapat daripada ladang berkurangan. Apabila sudah kurang kita perlu pinjam.”
Dalam pada itu, Abdul Wahid berkata, daripada penyenaraian tersebut Felda dan FGV telah memperoleh lebih RM11 bilion dan sekiranya wang tersebut dilaburkan dengan baik, ia boleh menjana keuntungan tinggi.
“Bagaimanapun, apabila terdapat pelaburan tidak baik dan tidak mendatangkan pulangan seperti diharapkan, beserta dengan pendapatan daripada ladang, ini telah menyebabkan kerugian kepada Felda, apabila nilai aset bersih berkurangan daripada RM20 bilion pada 2012 kepada RM7.1 bilion setakat 31 Disember 2019,” katanya. – UTUSAN










