Eksekutif pentadbiran, bekas pekerja terima habuan bulanan RM2,000 - Utusan Malaysia

Eksekutif pentadbiran, bekas pekerja terima habuan bulanan RM2,000

BEKAS penyelia sebuah syarikat swasta yang didakwa menerima habuan daripada syarikat katering dibawa ke Mahkamah Sungai Petani semalam bagi mendapatkan perintah tahanan reman.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI PETANI: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan dua individu termasuk seorang eksekutif pentadbiran di sebuah syarikat swasta di Gurun dekat sini semalam selepas disyaki menerima wang rasuah RM2,000 secara bulanan daripada sebuah syarikat katering sejak 2019 lalu.

Kedua-dua suspek disyaki melakukan kesalahan itu sebagai balasan bagi memastikan dan memilih syarikat katering berkenaan membekal makanan untuk penganjuran majlis di syarikat mereka bekerja.

Jumlah anggaran nilai suapan keseluruhan bagi kedua-dua tertuduh ialah RM30,000. 

Suspek terbabit, seorang lelaki berumur 36 tahun merupakan eksekutif pentadbiran dan wanita berumur 49 tahun bekas penyelia ditahan di Pejabat SPRM Sungai Petani di sini pada pukul 6 petang semalam.

Kedua-dua suspek itu disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

Sementara itu, suspek wanita itu direman sehari selepas dibawa Mahkamah Majistret Sungai Petani untuk membantu siasatan hari ini.

Sebaik selesai prosiding reman, suspek wanita itu dibawa ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) di sini dengan menaiki ambulans sambil dikawal pegawai SPRM selepas mengadu sakit di bahagian dada.

Dalam pada itu, suspek lelaki pula yang menerima rawatan di HSAH selepas mengalami serangan jantung semasa dipanggil memberi keterangan di Pejabat SPRM Sungai Petani  direman dua hari bermula hari ini.

Perintah reman ke atas dua suspek itu dikeluarkan oleh Penolong Pendaftar Mahkamah Majistret Sungai Petani, Dalilah Ismail.

Pengarah SPRM negeri, Datuk Shaharom Nizam Abd. Manap ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya