DUN Perak tenang, wakil rakyat junjung titah Agong - Utusan Malaysia

DUN Perak tenang, wakil rakyat junjung titah Agong

ABDUL AZIZ BARI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Sesi sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak hari ini berlangsung dalam suasana tenang tanpa sebarang kekecohan atau provokasi daripada wakil rakyat pembangkang mahupun kerajaan.

Ketua Pembangkang DUN Perak, Dr. Abdul Aziz Bari berkata, wakil-wakil rakyat pembangkang memilih untuk mengurangkan politiking sebagai menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong yang mengingatkan ahli-ahli politik untuk memberhentikan segera segala politiking yang boleh mengganggu kestabilan pemerintahan negara.

Beliau berkata, namun, Pakatan Harapan (PH)  bertegas dalam soal pelantikan Speaker DUN, Datuk Mohamad Zahir Abdul Khalid yang bercanggah dengan Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak.

“Selaras dengan titah Yang di-Pertuan Agong, kita kurangkan politiking, tetapi, kita tetap tegaskan pelantikan Speaker tidak sah.

“Begitupun kita tak buat bising, tak boikot, nanti rakyat bising, cuma kita bertegas dalam soal pelantikan Speaker yang tidak sah, kita tunggu kes ini di mahkamah,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Terdahulu dalam sidang DUN hari ini, dewan meluluskan usul Peterana Diraja atau bangku tempat duduk untuk raja dalam DUN Perak dikhususkan untuk Sultan dan Raja Permaisuri Perak.

Usul dibawa oleh Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dan disokong oleh Datuk Saarani Mohamad (BN-Kota Tampan) kemudiannya disokong sebulat suara oleh ahli dewan tanpa dibahaskan.

Untuk rekod, setiap kali pembukaan Persidangan DUN Perak, Sultan Perak dan Raja Permaisuri Perak akan ditempatkan di Peterana Diraja dalam dewan.

Selepas majlis perasmian,  Speaker DUN Perak akan ditempatkan di lokasi sama sepanjang persidangan berlangsung.

Selepas ketetapan terbaharu hari ini, kedudukan Speaker akan berada di bawah Peterana Diraja.

Sidang DUN yang berlangsung selama sehari itu juga menyaksikan ADUN Slim, Mohd. Zaidi Aziz mengangkat sumpah jawatan.

Mohd. Zaidi, 43, mengangkat sumpah dan menandatangani surat sumpah jawatan di hadapan Mohamad Zahir.

Pada Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Slim 29 Ogos lalu, Mohd. Zaidi yang mewakili Barisan Nasional (BN) menang dengan majoriti 10,945 undi.

Beliau yang merupakan Pemangku Ketua UMNO Bahagian Tanjung Malim mengalahkan dua calon bebas iaitu bekas guru, S. Santharasekaran, 44, dan peguam Amir Khusyairi Mohamad Tanusi, 38, yang mewakili Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang).

PRK DUN Slim diadakan berikutan kematian penyandangnya, Datuk Mohd. Khusairi Abdul Talib dari BN, akibat serangan jantung pada 15 Julai lepas. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya