PETALING JAYA: Tentera Israel terus memintas kapal dinaiki rakyat Malaysia dalam misi Global Sumud Flotilla (GSF) selepas seorang lagi aktivis, Norazman Ishak, berada di kapal Abodes dipintas di perairan antarabangsa berhampiran Cyprus, hari ini.
Perkembangan terbaharu itu menjadikan sekurang-kurangnya enam kapal yang membawa rakyat Malaysia dipintas, dihampiri atau dikenakan gangguan langsung oleh tentera laut Israel ketika misi flotilla menuju ke Gaza.
Sumud Nusantara Command Center (SNCC) sebelum ini mengesahkan lapan rakyat Malaysia berada di lima kapal yang terlibat dalam insiden sama iaitu Amanda, Isobella, Cactus, Ferluto dan Josef.
“Insiden bermula antara pukul 3 hingga 6 petang waktu Malaysia ketika flotilla berada kira-kira 241 batu nautika dari Pantai Gaza,” katanya dalam kenyataan.
Menurut SNCC, flotilla ketika itu berada di laluan perairan antarabangsa yang sah dan dilindungi di bawah undang-undang maritim antarabangsa.
Katanya, pihak Israel didakwa melakukan pendekatan provokatif menggunakan beberapa bot laju jenis Rigid Inflatable Boats (RIBs) ke arah flotilla.
“SNCC turut mengesan kehadiran dua kapal perang dan sebuah kapal tahanan berhampiran kawasan operasi flotilla.
“Sebelas kapal flotilla telah dipintas, dihampiri dan dikenakan tindakan gangguan langsung oleh pihak Israel,” katanya.
Lapan rakyat Malaysia yang disenaraikan SNCC sebelum ini ialah Zainal Rashid Ahmad, Muhamad Muhsin Zaidi, Mohammad Shazly Mohammad Shees, Tengku Ahmad Taufik Tengku Noor Zahari, Patmanathan Sivasamy, Syakirin Muhamed Senin, Muhammad Amirul Afif Mohd Azhar dan Ahmad Musa Al-Nuwayri Kamaruzaman.
Dengan perkembangan terbaharu membabitkan kapal Abodes, Norazman Ishak menjadi rakyat Malaysia kesembilan yang dipintas dalam operasi flotilla tersebut.
“Dua kapal ditahan pihak Israel melibatkan delegasi Sumud Nusantara dari Pakistan, Abdul Sattar Edhi Muhammad Saad di kapal Zio Faster dan delegasi Indonesia, Andi Anga Prasadewa di kapal Josef.
“Sebanyak 41 kapal flotilla termasuk yang membawa aktivis Malaysia masih meneruskan pelayaran menuju Gaza dalam keadaan risiko keselamatan sangat tinggi susulan ancaman pemintasan, gangguan dan tindakan agresif berterusan oleh pihak Israel,” katanya. – UTUSAN










