Bubar Parlimen jalan terbaik - Utusan Malaysia

Bubar Parlimen jalan terbaik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU : Pengisytiharan darurat sebaik-baiknya dilaksanakan selepas Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah terlebih dahulu membubarkan Parlimen atas nasihat Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Pakar Perlembagaan, Datuk Dr. Wan Ahmad Fauzi Wan Husain berkata, hal demikian bagi mengelak berlaku tuntutan seperti Sidang Dewan Rakyat bagi menguji sama ada Perdana Menteri masih mendapat kepercayaan majoriti dan usul untuk membatalkan proklamasi darurat di bawah Perkara 150(3) semasa tempoh darurat itu boleh dilakukan.

Menurutnya, apabila pengisytiharan darurat dilakukan tanpa membubarkan Parlimen, sidang Dewan Rakyat masih boleh dijalankan.

Bagaimanapun, katanya, Kabinet masih boleh berfungsi dengan kuasa terhad sebagai ‘care taker’ atau interim di bawah Perkara 43(2).

“Ini kerana, selepas darurat diisytiharkan pada 15 Mei 1969, pembatalan darurat itu hanya berlaku pada 20 Disember 2011. Dalam tempoh tersebut, Parlimen bersidang dan pilihan raya diadakan.

“Justeru, adalah lebih baik pohon perkenan Yang di-Pertuan Agong untuk bubar parlimen seterusnya pohon isytihar darurat agar pilihan raya boleh dibuat setelah keadaan kembali selamat.

“Dan ia bertepatan dengan matlamat sebenar bagi Kabinet pimpinan Muhyiddin untuk memulihkan ekonomi dan mengatasi wabak Covid-19 dapat dilaksanakan.

Mesyuarat khas Kabinet yang dipengerusikan Muhyiddin semalam dikatakan bersetuju dengan pelaksanaan darurat bagi menangani penularan pandemik Covid-19

Di bawah Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan, Yang di-Pertuan Agong boleh mengisytiharkam darurat selepas berpuas hati bahawa satu ancaman besar sedang berlaku yang menggugat keselamatan, kehidupan, ekonomi atau ketenteraman awam.

Tambah Wan Ahmad Fauzi, memandangkan keadaan tidak selamat untuk dilaksanakan pilihan raya semasa wabak Covid-19 maka Perdana Menteri boleh meminta Yang di-Pertuan Agong untuk membuat proklamasi darurat itu.

“Ini bagi membolehkan Seri Paduka membuat Ordinan Darurat untuk menguruskan hal ehwal negara dalam tempoh sehingga pilihan raya selesai dan jemaah menteri baharu dilantik,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, rakyat tidak perlu bimbang menjalani kehidupan seperti biasa jika Yang di-Pertuan Agong berkenan mengisytiharkan darurat yang bertujuan membolehkan pemulihan ekonomi dan keselamatan rakyat berikutan pandemik Covid-19 serta kemelut politik ketika ini. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN