Apa motif Anwar main teka-teki? - Utusan Malaysia

Apa motif Anwar main teka-teki?

Dr. Nuurrianti Jalli
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Walaupun sudah berdepan tekanan dengan pihak berkuasa untuk mengetahui jumlah sebenar sokongan ahli Parlimen bagi menumbangkan kerajaan Perikatan Nasional (PN), pendirian Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak mudah goyah malah terus membiarkan persoalan orang ramai tergantung tidak bertali.

Penolong Profesor Pengajian Komunikasi di Northern State University, South Dakota, Amerika Syarikat, Dr. Nuurrianti Jalli berkata, tindakan Anwar yang terus merahsiakan sokongan yang didakwa kukuh dan meyakinkan daripada wakil rakyat untuk membentuk kerajaan baharu adalah menghairankan.

Ini kerana, jika sokongan itu benar, Anwar seharusnya bersikap lebih terbuka bagi menjernihkan keadaan kerana pada ketika ini rakyat berada dalam keadaan yang tidak tenang.

“Anwar mestilah senaraikan semua penyokong untuk mempercepatkan urusan pelantikan beliau sebagai Perdana Menteri manakala penyokong beliau seharusnya menyokong tanpa berbelah bahagi. Tetapi kenapa ada unsur teka-teki dan kerahsiaan pula dengan senarai nama penyokong? Apa motif beliau?

“Jika dilihat kepada sokongan parti politik Malaysia yang berubah-ubah, atau ‘lompat katak’ seperti yang kita lihat sebelum ini, barangkali jika beliau mendedahkan senarainya, akan ada penyokong yang berpaling tadah tetapi ini cuma andaian saya dan mungkin beliau ada sebab sendiri. Tapi dengan merahsiakan, menyebabkan orang tidak percaya dengan dakwaan beliau,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.

Nuurrianti berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan Anwar yang mendakwa telah mendapat sokongan majoriti bagi membentuk kerajaan baharu.

Jumaat lalu, Anwar berdepan siasatan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi memberi keterangan berkenaan penyebaran senarai nama 121 ahli Parlimen yang didakwa menyokong pimpinannya.

Ahli Parlimen Port Dickson yang berdepan enam kertas siasatan itu mendakwa siasatan itu bermotifkan politik kerana PDRM cuba menekan dirinya bagi mendedahkan senarai nama ahli Parlimen yang menyokong beliau bagaimanapun, Anwar enggan berbuat demikian dan berkata urusan tersebut hanya antara beliau dengan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Bagaimanapun, Anwar berkata pihak berkuasa menjalankan tugas secara berintegriti dan berpuas hati dengan sesi rakaman serta penjelasannya.

Ditanya berkenaan dakwaan Anwar bahawa siasatan itu bermotifkan politik sehingga menuntut pihak berkuasa sebagai ‘orang tengah’ pihak tertentu, Nuurrianti percaya dan menegaskan pihak polis menjalankan tanggungjawab selaras dengan apa yang termaktub dalam sistem perundangan negara.

“Pun begitu, saya tidak menafikan jika benar penglibatan pihak polis dalam naratif politik, ini akan menyebabkan orang ramai salah anggap malah ada yang mungkin berfikir polis sebagai ‘boneka’ kerajaan.

“Pun begitu saya tidak terkejut jika penglibatan pihak polis boleh dilihat sebagai oleh sesetengah pihak sebagai tindakan yang berat sebelah dan dibawah tekanan orang atas. Kita sudah biasa lihat komen-komen sebegini di media sosial.

“Saya juga mahu menekankan, apa-apa pun, kepercayaan tinggi kepada institusi polis itu penting di dalam sesebuah negara dan diharap segalanya dilakukan dengan telus dan berpandukan undang-undang yang termaktub,” katanya.

Dr. Noor Nirwandy Mat Noordin.

Kenyataan itu mendapat persetujuan sama daripada Pensyarah Kanan, Pusat Pengajian Perang Saraf Media dan Informasi Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr. Noor Nirwandy Mat Noordin.

Katanya, beliau mengharapkan sistem perundangan negara ini stabil dan tidak bersandarkan kepada kepentingan politik selain memastikan ketelusan dalam segenap aspek.

Nirwandy antara lain menyifatkan, ahli politik tertentu dilihat bersikap mementingkan diri dengan cubaan merampas kuasa di tengah-tengah negara berada dalam saat genting akibat wabak Covid-19

“Strategi adalah perkara biasa dalam politik tetapi ia haruslah dilaksanakan mengikut keadaan dan asas kepada strategi ini haruslah tidak menganggu sistem pentadbiran negara khususnya dalam era krisis kemanusiaan seperti pandemik Covid 19. Ia juga perlu dilakukan apabila tiba masa yang sesuai. Strategi terdesak segelintir ahli politik perlu diketepikan dengan meletakkan asas kepentingan rakyat terjamin,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN