Agong tubuh kerajaan interim jika tiada yang peroleh majoriti - Utusan Malaysia

Agong tubuh kerajaan interim jika tiada yang peroleh majoriti

AL-SULTAN ABDULLAH RI'AYATUDDIN AL-MUSTAFA BILLAH SHAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Penubuhan kerajaan interim oleh Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah adalah pilihan terakhir sebelum mengisytiharkan darurat susulan tiada ahli Parlimen cukup majoriti untuk diangkat sebagai Perdana Menteri.

Pengamal undang-undang, Mohamed Haniff Khatri Abdulla berkata, sebagai ketua negara, Seri Paduka tidak akan membuat keputusan memihak kepada mana-mana parti kerana kuasa diperuntukkan mengikut Perlembagaan Persekutuan berada di atas pengaruh politik.

Menurut beliau, kerajaan sementara akan dipimpin seorang Perdana Menteri interim yang mesti mendapat persetujuan dan sokongan ahli Parlimen yang dipilih untuk menyertai Kabinet.

“Atas syarat semua setuju barulah Seri Paduka akan melantik kerajaan interim.

“Kalau tidak boleh juga maka Seri Paduka akan bubarkan Parlimen atau mewujudkan darurat dan orang politik tidak boleh salahkan Tuanku. Agong telah membuat proses yang betul-betul teliti, rapi dan tersusun,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Sejak semalam, wujud spekulasi mendakwa kerajaan campuran baharu akan ditubuhkan untuk menggantikan kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Ia akan dipimpin seorang Perdana Menteri interim dan Kabinetnya pula akan melibatkan wakil daripada semua parti.

Nama Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah antara yang disebut-disebut bakal mengisi jawatan berkenaan.

Dalam pada itu, mengenai status Muhyiddin, Mohamed Haniff berkata, Presiden Bersatu tersebut perlu meletakkan jawatan atau dilucutkan jawatan apabila Yang di-Pertuan Agong yakin beliau sudah hilang majoriti.

“Apa yang Agong boleh buat adalah sekiranya baginda berpuas hati Muhyiddin memang tiada sokongan majoriti maka Seri Paduka boleh terus bubarkan kerajaan sekarang,” jelasnya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN