Tak boleh laga penumbuk ganti salam - Utusan Malaysia

Tak boleh laga penumbuk ganti salam

FIST Thumb tidak digalakkan dalam pematuhan SOP Kementerian Kesihatan. IHSAN RTMAGAZINE
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan memberi amaran dan peringatan tegas kepada orang ramai supaya mengelakkan bersalaman atau bersentuhan termasuk melagakan mana-mana bahagian tubuh badan sebagai menggantikan cara kebiasaan bersalaman.

Ketua Pengarahnya, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, amalan itu yang lebih dikenali sebagai laga penumbuk atau ‘fist bump’ dikesan menjadi norma dan kebiasaan dalam kalangan masyarakat ketika berjumpa sekali gus menunjukkan prosedur operasi standard (SOP) mencegah penularan wabak Covid-19 diendahkan.

“Saya ingin menasihati orang ramai agar terus patuhi saranan mengelakkan 3S iaitu kawasan yang sesak, sempit dan elak sembang atau bertutur dalam jarak dekat.

“Amalkan 3W iaitu kerap mencuci tangan dengan air dan sabun, memakai pelitup muka di tempat awam yang diwajibkan oleh pihak Majlis Keselamatan Negara jika bergejala, amalkan etika batuk dan bersin, duduk di rumah dan elakkan kunjung-mengunjung serta lakukan aktiviti disinfeksi dan pembersihan kawasan yang kerap disentuh,” katanya dalam laporan harian mengenai perkembangan terkini Covid-19 di sini hari ini.  

Beliau malah menzahirkan kebimbangan terhadap situasi perhimpunan yang melibatkan kehadiran orang ramai sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang akan berlangsung pada 12 September ini bagi sesi penamaan calon.

Tegasnya kepada semua pihak yang akan terlibat secara langsung semasa hari tersebut, pastikan segala SOP dipatuhi supaya risiko kebolehjangkitan Covid-19 dapat dikurangkan.

Dalam pada itu, Kementerian Kesihatan menyokong usaha kerajaan memperketatkan kemasukan ke negara ini kepada pemegang pas lawatan jangka panjang bagi 23 negara yang mencatatkan kumulatif kes positif Covid-19 melebihi 15,000 kes.

Antara negara yang dimaksudkan adalah Turki, Itali, Perancis, Amerika Syarikat, Brazil, Rusia, Peru dan Pakistan.

“KKM akan meneruskan penilaian risiko berdasarkan situasi semasa Covid-19 di seluruh dunia dan senarai terkini negara yang diperketatkan kemasukan akan diumumkan oleh kerajaan dari semasa ke semasa,” jelasnya.

Dr.Noor Hisham turut memaklumkan terdapat 12 kes yang telah pulih daripada Covid-19 dengan jumlah kumulatif kes yang pulih sepenuhnya sebanyak 9,136 kes iaitu bersamaan 95.6 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.  -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya