PRN Sabah: 741 pusat mengundi, 2,540 saluran dibuka esok  - Utusan Malaysia

PRN Sabah: 741 pusat mengundi, 2,540 saluran dibuka esok 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA : Sebanyak 741 Pusat Mengundi dan 2,540 Saluran pengundian akan dibuka esok untuk tujuan pengundian melibatkan 28,656  petugas bagi proses pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Abdul Ghani SAlleh berkata, seramai 1,088,711 orang pengundi bakal mengundi dan diharapkan dapat menjalankan tanggungjawab mereka dengan keluar mengundi.

Katanya,  para majikan diingatkan supaya membenarkan pekerja mereka yang berdaftar sebagai pemilih untuk keluar mengundi dan mana-mana majikan yang didapati menghalang pekerja mereka berbuat demikian boleh diambil tindakan mengikut Seksyen 25 (3) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 yang memperuntukkan hukuman denda RM5,000 atau penjara selama setahun jika sabit kesalahan.

“SPR sekali lagi mengingatkan semua pihak yang bertanding bahawa tempoh rasmi berkempen akan tamat pada malam ini iaitu sehingga jam 11.59 minit malam, 25 September. Selepas tempoh itu berakhir, semua pihak hendaklah menghentikan sebarang bentuk aktiviti berkempen termasuk aktiviti merayu undi. 

“Tiada mana-mana pihak yang boleh merayu undi termasuklah di luar Pusat Mengundi dan juga melalui saluran media sosial,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata, semua parti atau calon bertanding adalah dilarang untuk membuka, membina atau menyelenggara pejabat dan barung semasa hari mengundi.

Katanya, mana-mana pihak yang melakukan kesalahan ini akan diambil tindakan undang-undang.

“SPR sekali lagi menegaskan kepada semua pihak khususnya pengundi, calon dan petugas yang ingin memasuki pusat mengundi pada hari mengundi tidak memakai baju, topi, pelitup separuh muka (facemask) atau membawa material yang mempunyai nama, simbol, gambar parti atau calon yang bertanding atau apa-apa bahan kempen, sebarang tagline atau slogan kempen yang menjurus atau membawa maksud sokongan atau cenderung kepada mana-mana fahaman politik.

“Mana-mana pengundi atau individu yang gagal mematuhi undang-undang boleh dihalang dari memasuki pusat mengundi dan dikenakan tindakan undang-undang sekiranya berbuat demikian.” katanya.

SPR  turut berharap semua pihak mematuhi undang-undang, peraturan dan etika pilihan raya bagi memastikan kelancaran proses pilihan raya serta tidak menggugat ketenteraman awam.  – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya