PETALING JAYA: Pelumba berbasikal trek negara, Muhammad Shah Firdaus Sahrom meneruskan momentum cemerlangnya apabila meraih pingat perak acara keirin lelaki manakala Datuk Azizulhasni Awang melengkapkan podium menerusi pingat gangsa pada Piala Trek Jepun 1 di Velodrom Izu, Shizuoka, hari ini.
Shah yang baru pulih daripada kecederaan sekali lagi membuktikan dirinya semakin kembali berada pada tahap terbaik apabila hanya tewas kepada jaguh tuan rumah merangkap juara Sukan Asia 2022, Kaiya Ota dalam perlumbaan final penuh sengit itu.
Terdahulu, pelumba berusia 30 tahun tersebut tampil cemerlang apabila mengungguli saringan ketiga pusingan pertama menewaskan wakil Jepun, Minato Nakaishi serta pelumba China, Li Zhiwei sebelum sekali lagi menamatkan perlumbaan di kedudukan teratas pada aksi pusingan kedua.
Azizulhasni pula meneruskan kayuhan konsisten apabila menjuarai saringan keempat pusingan pertama sebelum menamatkan aksi pusingan kedua di tempat ketiga untuk mengesahkan tempat ke final.
Kejayaan itu turut memadam kekecewaan pada aksi pecut individu lelaki semalam apabila Azizulhasni Awangmencatat masa 9.707 saat (s) untuk menduduki tangga ke-10 manakala Shah menamatkan saingan di kedudukan ke-15 selepas merekodkan masa 9.901s daripada keseluruhan 27 pelumba.
Kejayaan di Jepun itu mengukuhkan lagi prestasi semasa kedua-dua pelumba negara selepas Azizulhasni meraih emas keirin pada Piala Dunia Trek di Nilai April lalu manakala Shah turut menjuarai acara sama di Piala Trek Indonesia, minggu lalu. – UTUSAN










