KUALA LUMPUR: Petroliam Nasional Berhad (Petronas) mencatatkan kerugian selepas cukai sebanyak RM21 bilion pada suku kedua berakhir 30 Jun 2020 terkesan kejatuhan harga minyak global dan penurunan drastik permintaan disebabkan pandemik Covid-19.
Kali terakhir syarikat minyak milik kerajaan itu rugi adalah pada suku keempat 2015 dengan mencatatkan kerugian berjumlah RM2.69 bilion.
Kerugian besar pada suku kedua disebabkan kejatuhan pendapatan sebanyak 42 peratus kepada RM34 bilion berbanding RM59.1 bilion yang dicatatkan dalam suku sama setahun lalu.
Selain kejatuhan harga minyak dan permintaan merudum di seluruh dunia akibat perintah tinggal di rumah, prestasi kewangan Petronas diburukkan lagi dengan rosot nilai bersih aset.
Petronas bukan hanya syarikat minyak yang mengalami kesan terburuk pandemik dengan semua syarikat gergasi minyak dunia turut terjejas teruk. Shell mengalami kemerosotan keuntungan sebanyak 82 peratus pada suku kedua 2020, sementara Chevron rugi AS$8.3 bilion (RM34.44 bilion) manakala BP kerugian AS$6.7 bilion (RM27.80 bilion).
Di peringkat serantau, syarikat minyak Indonesia, Pertamina mencatatkan kejatuhan perolehan sebanyak 19.8 peratus dan kerugian bersih AS$767.92 juta (RM3.18 bilion).
Bagi tempoh enam bulan pertama tahun ini, Petronas merekodkan kerugian sebanyak RM16.5 bilion berbanding keuntungan selepas cukai sebanyak RM28.9 bilion tempoh sama tahun lalu.
Selain kejatuhan harga minyak, semua produk dan jumlah penjualan yang lebih rendah terutamanya sektor gas yang diproses dan gas asli cecair (LNG) memberi kesan kepada perolehan Petronas.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Petronas, Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz berkata, Kumpulan berdepan cabaran bagi separuh pertama dan menjangkakan prestasi akan dipengaruhi oleh turun naik harga minyak yang terus meningkat kesan daripada pandemik Covid-19.
“Kumpulan komited untuk mengambil langkah pemulihan berterusan dan akan terus berdaya tahan bagi penyelesaian progresif untuk masa depan yang lestari,” katanya pada sidang akhbar Prestasi Kewangan Petronas bagi separuh pertama 2020 di sini, semalam.
Walaupun berdepan prestasi kewangan yang mencabar serta masa depan yang tidak menentu, beliau berkata, Petronas sedang menimbang beberapa usaha bagi mengurangkan kos operasi.
Beliau bagaimanapun menolak kemungkinan perberhentian pekerja tetapi syarikat sedang menimbang sama ada pemotongan gaji perlu dilaksanakan sebagai antara usaha mengawal.
“Kami tidak mahu memilih jalan pengurangan atau pembuangan (pekerja),” katanya.
Tengku Muhammad Taufik menjangkakan suasana akan terus mencabar kepada syarikat nasional itu dengan unjuran harga minyak kekal rendah dan permintaan yang muram.
Petronas, satu-satunya syarikat Malaysia dalam senarai Fortune 500 – syarikat terbesar di dunia, menggaji kira-kira 50,000 kakitangan dan dianggap sebagai ikon kepada kejayaan negara di peringkat dunia. – UTUSAN










