Penduduk Ladang UP tak sabar nikmati internet - Utusan Malaysia

Penduduk Ladang UP tak sabar nikmati internet

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI PETANI: Penduduk Ladang UP Bukit Selambau dekat sini tidak sabar untuk menikmati capaian internet yang lebih baik ekoran syarikat-syarikat telekomunikasi mula membuat kajian untuk membina menara di kawasan itu.

Seorang penduduk, V. Barathi­dasa, 26, berkata, dia difahamkan pembinaan menara tele­komunikasi itu akan dimulakan selepas mendapat kelulusan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Katanya, wakil daripada SKMM dan syarikat telekomunikasi se­perti Maxis, Celcom, Digi dan Umobile telah datang melakukan kajian rangkaian internet untuk memasang menara di kawasan berkenaan sejak seminggu lalu.

Menurutnya, pembinaan menara itu pastinya dapat mening­katkan capaian internet dan liputan telekomunikasi yang le­mah selama ini.

“SKMM memaklumkan me­reka telah mengadakan perbincangan bersama syarikat komunikasi terlibat untuk mencari penyelesaian interim sebelum menara telekomunikasi dibina.

“Kami berterima kasih atas kesungguhan yang ditunjukkan oleh semua pihak untuk membantu penduduk di sini dan berharap masalah ini dapat diselesaikan segera,” katanya di sini semalam.

Mingguan Malaysia pada 20 September lalu melaporkan setelah sekian lama berhadapan dengan masalah akses internet, penduduk di Ladang UP Bahagian Bukit Selambau mengambil inisiatif membina ‘menara’ telekomunikasi mereka sendiri.

Kawasan estet kelapa sawit tersebut yang juga dikenali sebagai Kampung Kongis 14 terletak kira-kira 20 kilometer dari bandar Sungai Petani dan didiami kira-kira 170 orang penduduk.

Sementara itu, seorang lagi penduduk, Siti Nor Dalilawati Syahril, 20, yang merupakan pelajar kolej berharap pembinaan menara telekomunikasi berkenaan disegerakan berikutan kesukaran penduduk di sini mendapat akses internet. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN