KUALA LUMPUR: Kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi tidak menghalang mana-mana ahli Parlimen yang ingin menyokong Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan dibincangkan dalam mesyuarat Muafakat Nasional (MN) selepas berakhirnya Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.
Bercakap kepada Mingguan Malaysia, Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, tarikh mesyuarat itu akan ditetapkan kemudian pada awal bulan depan.
“Tentang kenyataan Ahmad Zahid itu akan dibincangkan dalam mesyuarat MN,” katanya ketika dihubungi.
Sebelum ini, Anwar mendakwa kerajaan pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin tumbang selepas beliau memperoleh majoriti kukuh untuk membentuk kerajaan baharu.
Beliau mendakwa, kerajaan baharu itu adalah gabungan ahli Parlimen daripada pelbagai parti termasuk UMNO namun tidak menyebut jumlah majoriti yang diperoleh.
Ahmad Zahid pula dilaporkan berkata, beliau tidak menghalang mana-mana ahli Parlimen yang ingin menyokong Anwar.
Susulan kenyataan tersebut, ramai pihak mengecamnya termasuk Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan yang meminta UMNO menjelaskan perkara tersebut.
Tuan Ibrahim sebelum ini berkata, strategi Anwar untuk menjatuhkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) tidak akan berhasil, malah disifatkan sebagai ‘sindrom September’ seperti yang pernah berlaku pada 2008.
“Itu pandangan peribadi Ahmad Zahid, parti boleh beritahu kepada ahli Parlimen untuk patuh tetapi kalau individu itu mahu buat keputusan, itu hak masing-masing.
“Ini yang berlaku kalau kita tengok pelbagai parti yang ada. Jadi, dalam konteks ini, hubungan dalam MN tidak terjejas,” katanya. – UTUSAN










