Lagi RM10 bilion untuk bantu rakyat - Utusan Malaysia

Lagi RM10 bilion untuk bantu rakyat

MUHYIDDIN YASSIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kerajaan memperuntukkan perbelanjaan sebanyak RM 10 bilion untuk bantuan tambahan khusus di bawah pakej Kerangka Inisiatif Tambahan Prihatin, Kita Prihatin dengan mensasarkan empat kelompok rakyat yang bakal menerima manfaat.

Menurut Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, kelompok rakyat itu ialah golongan B40 yang berkeluarga dan bujang; golongan M40 yang berkeluarga dan bujang; golongan pekerja negara dalam pelbagai bidang dan golongan peniaga mikro dalam pelbagai bidang. 

Daripada pakej Kita Prihatin itu, Perdana Menteri turut mengumumkan pemberian tunai tambahan di bawah Bantuan Prihatin Nasional 2.0 (BPN 2.0) dengan peruntukan hampir RM7 bilion demi mengambil kira segala kesukaran yang masih dihadapi oleh rakyat akibat terkesan dengan pandemik Covid-19. 

Kata Perdana Menteri, jumlah bantuan yang akan disalurkan di bawah BPN 2.0 adalah melibatkan 3.7 juta isi rumah yang akan mendapat (RM1,000), 3.8 juta kumpulan B40 bujang (RM500), hampir 1.4 juta isi rumah M40 (RM600) dan 1.7 juta kumpulan M40 bujang memperoleh RM300.  

“Bayaran BPN 2.0 akan dibuat dalam dua ansuran, pertamanya pada hujung Oktober ini dan keduanya, pada bulan Januari 2021. Bagi golongan B40, bayaran ansuran pertama bulan Oktober adalah sebanyak RM700 dan keduanya, pada Januari 2021 adalah sebanyak RM300. 

“Tiada permohonan yang perlu dibuat untuk mendapatkan bantuan BPN 2.0. Kerajaan akan menyalurkan bantuan secara terus kepada 10.6 juta penerima yang telah diluluskan di bawah BPN sebelum ini. 

“Bagi mereka yang layak tetapi tidak pernah menerima BPN, kerajaan akan memberi peluang untuk rayuan dan permohonan baharu. Saya berharap dengan adanya bantuan tambahan ini, saudara dan saudari dapat menarik sedikit nafas lega dalam menampung perbelanjaan harian saudara saudari dan seisi keluarga,” katanya dalam perutusan khas Kita Prihatin, di sini hari ini.

Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata, kerajaan turut memahami dan prihatin terhadap majikan dan pekerja dalam sektor-sektor tertentu yang masih terjejas seperti sektor pelancongan. 

Justeru, kata beliau, kerajaan akan memperkenalkan Program Subsidi Upah 2.0 bagi membantu syarikat yang masih terjejas sebagai sebahagian daripada Pakej Kita Prihatin yang dijangka memanfaatkan 1.3 juta pekerja melibatkan peruntukan sebanyak RM 2.4 bilion. 

Beliau menjelaskan, subsidi upah itu akan diberikan kepada majikan yang masih terjejas iaitu syarikat yang sejak Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) masih menghadapi pengurangan hasil sekurang-kurangnya 30 peratus berbanding tahun lalu. 

Menurut beliau, peruntukan program berkenaan akan diberikan sehingga tiga bulan pada kadar RM600 sebulan untuk setiap pekerja sehingga maksimum 200 pekerja dan permohonan akan dibuka dari 1 Oktober sehingga 31 Disember 2020. 

“Program Subsidi Upah 2.0 akan dibuka untuk syarikat yang berdaftar dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) sehingga 31 Ogos 2020. Bagi permohonan baharu yang tidak pernah menerima bantuan di bawah program ini, mereka akan layak menerima subsidi upah sehingga enam bulan,” katanya. 

Di bawah Pakej Kita Prihatin itu juga, Perdana Menteri berkata,  kerajaan bersetuju untuk membuka semula permohonan Geran Khas Prihatin (GKP) mulai 1 Oktober hingga 31 Oktober ini kepada golongan peniaga mikro yang telah pun ditutup pada 15 Mei lalu yang akan memanfaatkan lebih 200,000 peniaga mikro dengan nilai peruntukan hampir RM600 juta.

Katanya, ia akan dibuka kepada peniaga mikro yang berdaftar atau memegang lesen berniaga dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) atau Pihak Berkuasa Tempatan sehingga 31 Ogos lalu dengan bayaran akan dibuat mulai 25 November depan. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya