Jenazah Md. Firdaus selamat dikebumikan - Utusan Malaysia

Jenazah Md. Firdaus selamat dikebumikan

KENDERAAN Maritim Malaysia yang membawa jenazah dari Kuala Terengganu untuk dikebumikan di Kota Tinggi, Johor. - UTUSAN/Noradila Mahamad
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Pengebumian jenazah Leftenan Maritim Md. Firdaus Omar selamat disempurnakan mengikut Istiadat Pengebumian dan Kawalan Jenazah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia).

Maritim Malaysia dalam satu kenyataan memberitahu, jenazah Md. Firdaus, 35, dan anak sulungnya, Muhammad Lutfil Al-Hadi, 8, disemadikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Felda Sening, Kota Tinggi malam tadi.

Kata kenyataan itu lagi, istiadat tersebut diketuai Leftenan Komander Maritim, Mohd. Ardi Mat Nawi bersama 15 pegawai penguat kuasa dan 17 pegawai lain-lain pangkat daripada Maritim Malaysia Johor.  

“Pengarah Maritim Malaysia Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria kemudian menyerahkan panji Maritim Malaysia kepada abang Allahyarham, Junaidi Omar sebagai penghormatan terakhir buat Md. Firdaus atas bakti dan sumbangannya kepada negara.

“Maritim Malaysia telah kehilangan seorang pegawai yang berdedikasi akibat kemalangan jalan raya di Gong Badak, Terengganu pada semalam,” kata kenyataan itu di sini hari ini.

Turut mengiringi jenazah merupakan sahabat Md. Firdaus Allahyarham dari Ibu Pejabat Maritim Putrajaya, Akademi Maritim Sultan Ahmad Shah (Amsas) serta cawangan negeri lain antaranya Johor, Terengganu, Pahang, Selangor, Negeri Sembilan dan Melaka.

Allahyarham yang bertugas di Maritim Malaysia Terengganu meninggalkan seorang balu, Siti Hawa Mohd. Sebari, 30, dan dua lagi anak iaitu Nur Athiyaah Rafhanali, 6, dan Nur Alfiyyah Rasyadah, 2.

Terdahulu, Allahyarham dilaporkan terlibat dalam kemalangan semasa membawa anak sulungnya menaiki motosikal menuju ke kelas mengaji. 

Motosikal ditunggang mangsa dirempuh sebuah kereta semasa keluar dari simpang di Taman Perumahan Mega, Kuala Nerus. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya