Didenda kerana makan rasuah RM1,000 - Utusan Malaysia

Didenda kerana makan rasuah RM1,000

TERTUDUH, Mohd Azizul Saripudin (kiri) dan Mohd Iskandar Rosly mengaku bersalah atas kesalahan menerima suapan di Mahkamah Sesyen SPRM disini-UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU : Akibat makan rasuah RM1,000 pada dua tahun lalu, dua kontraktor syarikat pendawaian elektrik masing-masing didenda RM6,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini.

Kedua-dua tertuduh, Mohd. Azizul Saripudin, 31 dan Mohd. Iskandar Rosly, 30, dijatuhkan hukuman tersebut selepas mengaku bersalah terhadap pertuduhan itu di hadapan Hakim Kamarudin Kamsun.

Mahkamah turut memerintahkan mereka dipenjara enam bulan sekiranya gagal membayar denda.

Mengikut kertas pertuduhan, kedua-dua lelaki berkenaan didakwa melakukan kesalahan itu kira-kira pukul 4.10 petang di sebuah Restoran di Bukit Saujana pada 11 Januari 2018.

Mereka didakwa menipu seorang lelaki dengan memperdayakannya untuk mendapatkan pengurangan jumlah denda yang dikenakan di atas kesalahan melakukan pengubahsuaian kotak meter elektrik Tenaga Nasional Berhad (TNB).

Perbuatan itu telah mendorong mangsa menyerahkan wang tunai bernilai RM1,000 kepada kedua-dua tertuduh.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 16 (a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (1) akta sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Mereka turut ditawarkan pertuduhan pilihan mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum dengan penjara sehingga dua tahun atau denda atau keduanya atas kesalahan sama kerana menggunakan dokumen sebut harga palsu.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Muhammad Azriff Firdaus Ali manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.

Kedua-dua tertuduh yang sudah tidak bekerja sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) membuat rayuan di hadapan Kamarudin, menyesali perbuatan itu serta berjanji tidak mengulangi kesilapan sama.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya