Covid-19 bukan penghalang NGO salur bantuan  - Utusan Malaysia

Covid-19 bukan penghalang NGO salur bantuan 

JOHARI Lateh menyampaikan sumbangan kepada Maznah Tayib pada program Sumbangan Prihatin Juru Bikers sempena Bulan Kanser Kanak-kanak Sedunia di Pusat Rehat dan Rawat (RNR) Bagan Ajam, Butterworth, Pulau Pinang. - UTUSAN/AMIR IRSYAD OMAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

BUTTERWORTH: Pandemik Covid-19 yang melanda negara tidak menjadi penghalang bagi pertubuhan bukan kerajaan (NGO) meneruskan kerja amal khusus buat kanak-kanak pesakit kanser.

Pengerusi Persatuan Sahabat Kanak-Kanak Kanser Wilayah Utara (Foccan), Maznah Tayib berkata, pihaknya terus menghulurkan bantuan bulanan bagi meringankan beban ditanggung ibu bapa setiap kanak-kanak terbabit.

Tambahnya, meskipun tiada aktiviti membabitkan pesakit kanser kanak-kanak dijalankan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), namun pihaknya tetap aktif melakukan kutipan dana dengan kerjasama pebagai pihak bagi memastikan sumbangan dapat disalurkan.

Sehingga kini, ujar beliau, terdapat seramai 450 pesakit kanser yang dipantau menerima bantuan mingguan merangkumi wang ringgit, lampin pakai buang dan susu.

“Memang jumlah kutipan dana terjejas ekoran pandemik namun kami tetap berusaha merancakkan kutipan dana untuk membiayai keperluan anak-anak ini menerusi pelbagai program.

“Selain itu, sesi perkongsian ibu bapa kanak-kanak pesakit kanser dan perbincangan bersama pakar perubatan antaranya pakar onkologi dijalankan melalui platform FB Live bagi menerap kesedaran masyarakat setempat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada program Sumbangan Prihatin Juru Bikers kepada Foccan sempena Bulan Kanser Kanak-Kanak Sedunia di kawasan rehat dan rawat (R&R) Bagan Ajam, di sini hari ini.

Sementara itu, Presiden Juru Bikers, Johari Lateh berkata, pihaknya menjalankan kutipan dana dalam kalangan ahli sejak sebulan lalu bagi membantu melicinkan misi Foccan membantu anak-anak yang kurang bernasib baik.

“Bersempena sambutan Hari Malaysia hari ini (semalam), kami bersama-sama menguar-uarkan mengenai sumbangan kepada ahli dan pengikut laman sosial kelab ini.

“Kita tidak dapat menganjurkan program konvoi ekoran PKPP, namun keprihatinan ahli kelab dapat dizahirkan menerusi kutipan sumbangan yang berjaya dibuat,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya