65 ditahan ingkar PKP, 32 PATI ditangkap - Utusan Malaysia

65 ditahan ingkar PKP, 32 PATI ditangkap

ISMAIL SABRI YAAKOB
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA : Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah menahan 65 individu atas kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKP) atas pelbagai kesalahan setakat semalam.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, daripada jumlah itu, seramai 63 individu telah dikompaun manakala dua lagi direman.

Menurut beliau, antara kesalahan yang dikenal pasti ialah tidak memakai pelitup muka (35), premis beroperasi tanpa kebenaran (lapan), penjarakan fizikal (tujuh) dan gagal menyediakan peralatan atau merekod butiran pelanggan (empat).

Selain itu, katanya,  turut didapati tujuh individu yang keluar rumah tanpa alasan munasabah di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan Secara Pentadbiran (Temco) dan tiga lagi memasuki kawasan Temco tanpa alasan munasabah selain seorang gagal membayar caj kuarantin. 

“Sebanyak 52,294 pemeriksaan dilakukan oleh 2,950 Pasukan Pematuhan yang melibatkan 12,201 anggota. Operasi Benteng juga telah berjaya melakukan tangkapan yang melibatkan 32 Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI), empat penyeludup dan seorang tekong. 

“Turut berjaya dirampas sebuah bot dan tiga kenderaan darat melalui 91 sekatan jalan raya. Kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba memasuki sempadan negara secara haram dan agensi-agensi penguatkuasa akan terus mengetatkan kawalan kawasan sempadan terutamanya di lorong-lorong tikus,” katanya dalam laporan harian mengenai pelaksanaan PKPP, di sini semalam.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, seramai 32,963 individu telah pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa dan telah ditempatkan di 67 hotel dan lapan premis lain.

Katanya, daripada jumlah itu, seramai 8,240 individu sedang menjalani proses kuarantin wajib manakala 71 individu telah dihantar ke hospital untuk rawatan selain 24,652 lagi telah dibenarkan pulang.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya