BALIK PULAU: Sepasang suami isteri warga emas menghabiskan sisa kehidupan mereka dengan tinggal di sebuah pondok usang dan hanya bertampalkan zink serta kayu terbuang di muara sungai Pulau Betong di sini sejak 40 tahun lalu.
Kediaman yang didiami Adnan Mohd. Ahkhir, 63, dan isterinya, Kalsom Arshad, 63, bagaikan menunggu masa untuk menyembah bumi dan sering ditenggelami air berikutan keadaan mereka yang serba kedaifan.
Selain tinggal dalam keadaan atap zink yang berlubang dan lantai kayu yang hampir reput, pasangan terbabit kini terpaksa menjadikan bahagian dapur sebagai tempat tidur serta berehat dengan hanya berlapikkan tikar plastik.
Jarak kediaman mereka dengan jalan utama kira-kira satu kilometer dan tiada sebarang lampu jalan mahupun laluan tar sepanjang masuk ke rumah mereka.
Lebih memilukan, Adnan yang sebelum ini seorang nelayan pantai terpaksa dipotong kaki kanan hingga paras lutut pada awal Mac lalu akibat jangkitan kuman selepas terpijak besi karat semasa membuat kerja-kerja memukat hujung tahun lalu.
“Sebelum ini, saya setiap hari akan turun ke laut untuk menangkap ikan dan hasil tangkapan itu mampu membeli barangan kelengkapan dapur serta makanan untuk kami berdua.
“Tetapi, keadaan sudah berubah. Saya tidak mampu membawa bot seorang diri dalam keadaan sebelah kaki. Kami kini hanya mengharapkan bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM),” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Cerita Adnan, kediaman mereka sebelum ini adalah sebuah setor simpanan peralatan menangkap ikan dan disebabkan kesempitan wang dan tiada tempat berteduh ketika itu, dia membina sebuah rumah kecil dengan menggunakan kayu terbuang.
“Bahagian dapur kini dijadikan sebagai tempat tidur dan berehat kerana di situ sahajalah tempat berteduh yang dianggap paling selamat berbanding dua bilik yang hampir roboh,” ujarnya yang menambah bekalan elektrik dan air diambil dari sebuah kolam udang berhampiran.
Adnan yang menghidap masalah jantung dan kencing manis memberitahu, dia sedih memikirkan nasib yang dialaminya bersama isteri disebabkan keadaan kesihatannya yang hidup dengan hanya sebelah kaki.
Terdahulu, pasangan suami isteri terbabit telah menerima kunjungan dari badan bukan kerajaan (NGO), Pertubuhan Wanita Prihatin Pulau Pinang yang diketuai Presidennya, Sharifah Noorriati Syed Amirudin dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Betong, Mohd. Tuah Ismail.
Menurut Sharifah Noorriati, pihaknya kini dalam proses mendapatkan sebuah rumah sewa kepada pasangan warga emas terbabit menerusi sokongan dan perbelanjaan penuh dari Ahli Parlimen Balik Pulau, Muhammad Bakhtiar Wan Chik.
“Kami kini dalam fasa perbincangan dengan pemilik kediaman sewa yang terletak di Sungai Rusa di sini dan besar harapan kami untuk membantu golongan asnaf terbabit dalam mendapatkan kehidupan yang lebih selesa dan selamat,” ujarnya. – UTUSAN










