UNHCR akui wujud kad palsu pelarian - Utusan Malaysia

UNHCR akui wujud kad palsu pelarian

Sebahagian pelarian beratur untuk berurusan di pejabat Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) di Jalan Bukit Petaling, Kuala Lumpur. - UTUSAN/ FAUZI BAHARUDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Untuk Pelarian (UNHCR) mengakui wujud kegiatan pemalsuan kad bagi golongan pelarian sehingga menyebabkan lambakan yang didakwa dikeluarkan suruhanjaya tersebut.

Bagi menangani perkara itu, pihaknya telah menetapkan ciri keselamatan dalam kad tersebut termasuklah hologram 3D, kod bar, sistem tindak balas pantas selamat selain pengumpulan data biometrik yang memerlukan imbasan iris dan jari.

“Sebahagian daripada usaha berterusan kami untuk membanteras pemalsuan kad dan pemalsuan identiti, UNHCR telah membuat pelaburan yang besar dalam memperkukuhkan lagi prosedur dan memastikan integriti dokumen kami.

“Kesahihan kad boleh disahkan melalui aplikasi UNHCR Verify-MY yang membolehkan pegawai penguat kuasa undang-undang dan mereka yang terlibat dalam kerja perlindungan dan bantuan untuk lebih mudah membuat pengesahan kad,” katanya dalam kenyataan kepada Utusan Malaysia di sini semalam.

Mingguan Malaysia bertarikh 2 Ogos lalu mendedahkan kad warga asing berkenaan boleh diperoleh menerusi ejen dengan hanya bayaran sekitar RM500 ke RM800.

Mereka akan memperoleh kad palsu tersebut sekiranya tidak memenuhi syarat yang diperlukan oleh UNHCR.

Bagaimanapun, sekiranya mereka ditangkap, warga asing itu akan diberikan kad UNHCR yang sah dengan mudah.

Mengulas lanjut, UNHCR turut berkata, pihaknya kini bekerja rapat dengan pihak berkuasa Malaysia untuk mengeluarkan kad yang dilengkapi dengan ciri-ciri keselamatan.

Namun begitu, kenyataan itu bercanggah dengan Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Khairul Dzaimee Daud bahawa UNHCR menolak untuk bekerjasama dengan pihaknya ketika sesi temubual warga asing dilakukan.

“Pelbagai alasan diberikan oleh pihak pengeluar kad yang tidak mahu kehadiran penguat kuasa di negara ini semasa proses tersebut berlangsung,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN