Rasuah: Bekas pengurus kanan TH didakwa - Utusan Malaysia

Rasuah: Bekas pengurus kanan TH didakwa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Bekas Pengurus Kanan Teknikal di Lembaga Tabung Haji mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tiga pertuduhan menerima rasuah berjumlah melebihi RM170,000 pada 2015 dan 2018.

Zaharudin Hamid, 47, yang bertugas di Seksyen Pembangunan Hartanah didakwa menerima tiga keping cek berjumlah RM170,477 daripada seorang pengarah sebuah syarikat juruperunding pembinaan, Yusaidi Mohd. antara 5 Oktober 2015 dan 24 Mei 2018 di Maybank Desa Pandan di sini.

Cek yang didepositkan ke dalam akaun kakaknya adalah sebagai upah mencadangkan syarikat Consoline Sdn. Bhd. dan Syarikat MNB Engineering Sdn. Bhd. bagi kerja-kerja ubah suai pejabat TH Ipoh (IFiC), Perak dan tiga di Johor iaitu TH Muar, TH Batu Pahat serta TH Kluang.

Pertuduhan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 atau mana-mana yang lebih tinggi.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM), Abdul Rashid Sulaiman manakala tertuduh diwakili peguam bela, M. Athimulan.

Pendakwaan mencadangkan jaminan sebanyak RM100,000 dengan seorang penjamin beserta syarat tambahan iaitu tertuduh perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah dan perlu melapor diri ke Ibu Pejabat SPRM sebulan sekali.

Athimulan bagaimanapun memohon agar jumlah tersebut dikurangkan memandangkan anak guamnya mengalami kemurungan dan tidak lagi bekerja.

Hakim Rozina Ayob menetapkan ikat jamin sebanyak RM50,000 dan turut memerintah Zaharudin menyerahkan pasportnya kepada mahkamah untuk disimpan oleh mahkamah dan lapor diri setiap bulan di Ibu Pejabat SPRM Kuala Lumpur sebulan sekali sehingga kes selesai.

Mahkamah kemudian menetapkan 22 September ini untuk sebutan semula kes. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya