Polis ke rumah penduduk degil - Utusan Malaysia

Polis ke rumah penduduk degil

SURINA Saad (tiga dari kanan) membuat tinjauan di sekatan jalan raya Kampung Kuala Sanglang, Kangar, Perlis semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Polis negeri akan pergi ke rumah penduduk dari dua kawasan di Kuala Sanglang di sini mulai hari ini sekiranya mereka gagal hadir menjalani saringan pengesanan wabak Covid-19 di Klinik Kesihatan Kuala Sanglang.
Ketua Polis negeri, Datuk Surina Saad berkata, 100 peratus penduduk dari Kampung Tanah Timbul telah menjalani saringan tersebut kelmarin dan saringan semalam melibatkan Kampung Kuala Sanglang.
“Sekiranya ada yang tidak hadir menjalani ujian saringan, pihak polis akan membantu Kementerian Kesihatan untuk membawa mereka ke klinik.
“Senarai penduduk itu memang ada dan kita akan dapat mengesan jika ada yang tidak ha­dir. Mereka yang tiada di kawasan ini sepatutnya balik menjalani saringan terutamanya jika ada di kawasan ini pada 28 Julai lalu,” katanya di sini semalam.
Beliau berkata demikian selepas membuat tinjauan di sekatan jalan raya di jalan keluar ma­suk kawasan Sanglang berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) secara bersasar di Kampung Kuala Sanglang dan Kampung Tanah Timbul bermula malam semalam.
Sementara itu, Surina berkata, selain tiga sekatan iaitu dua di Kampung Kuala Sanglang dan satu di Kampung Tanah Timbul, pihaknya turut mengenal pasti tiga lagi ‘lorong tikus’ yang melibatkan jalan bendang.
Katanya, ‘lorong tikus’ yang masing-masing dua di Kampung Kuala Sanglang dan satu di Kampung Tanah Timbul akan ditutup mulai 8 pagi ini iaitu setelah proses saringan selama dua hari bermula kelmarin tamat.
“Kita tidak boleh tutup lagi hari ini (semalam) kerana penduduk masih lagi menggunakan jalan itu untuk hadir menjalani ujian saringan Covid-19.
“Dari segi mendapatkan bekalan makanan pula tidak menjadi masalah kerana kami membenarkan kedai dalam kawasan PKPD secara bersasar di buka untuk penduduk kawasan itu,” ujarnya.
Tambah Surina, penghantaran perkhidmatan perlu seperti makanan juga dibenarkan masuk ke kawasan ini tanpa memerlukan surat kebenaran dan jika ada penduduk yang mahu keluar, perlu mempunyai alasan kukuh dan nama mereka akan direkodkan.
Setakat ini sebanyak 11 kes positif Covid-19 dicatatkan di ne­geri ini yang merupakan pesakit kluster Sivagangga.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya