PGA rampas sosej seludup RM17,200 - Utusan Malaysia

PGA rampas sosej seludup RM17,200

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RANTAU PANJANG: Cubaan menyeludup masuk  pelbagai jenis sosej secara tidak sah dari Thailand berjaya dipatahkan anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 9 di pangkalan haram Pohon Jambu di sini pada Jumaat lalu.

Rampasan sosej yang dianggarkan bernilai RM17,200 itu kemudian diserahkan kepada Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) Kelantan untuk tindakan lanjut.

Antara jenis sosej yang berjaya dirampas adalah daging, ayam dan isi sotong.

Pengarah Maqis negeri, Mohd. Azam Yahya berkata, perbuatan menyeludup barangan itu merupakan suatu kesalahan di bawah Seksyen 11(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 [Akta 728] mengimport sosej tanpa mempunyai permit import yang sah daripada pihaknya dan sijil kesihatan dikeluarkan oleh negara asal.

Menurutnya, jika sabit kesalahan, boleh dihukum di bawah Seksyen 11(3) dalam Akta yang sama iaitu didenda tidak melebihi RM100,000 atau di penjara selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya sekali. 

“Pihak Maqis sentiasa mengambil langkah tegas bersama agensi penguatkuasaan di sempadan dalam isu melibatkan keselamatan makanan, kawalan penyakit dan risiko kemasukan perosak yang boleh mengancam industri pertanian negara. 

“Tindakan penguatkuasaan undang-undang akan terus diperkasa bagi memastikan kawalan penyakit haiwan, ikan, tumbuhan dan jaminan keselamatan makanan terpelihara,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Mohd. Azam memberitahu, kegiatan ini dilakukan oleh segelintir pengimport bagi mengaut keuntungan yang lebih.

Katanya, Maqis akan terus menjalinkan kerjasama erat dengan agensi penguatkuasaan sempadan yang lain.

“Kerjasama ini bertujuan membanteras aktiviti penyeludupan khususnya yang melibatkan hasil pertanian,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya