KUALA LUMPUR: Cadangan melanjutkan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang dijadualkan berakhir 31 Ogos ini ke satu tarikh baharu tidak akan memberi impak negatif kepada ekonomi negara.
Penganalisis ekonomi, Dr. Baayah Baba berkata, aktiviti ekonomi tetap berjalan seperti biasa kerana beberapa sektor dan perkhidmatan telah pun dibuka kepada umum dalam tempoh PKPP.
“Tiada masalah melanjutkan PKPP kerana tidak terlalu memberi impak negatif. Kedai-kedai telah dibuka dan orang ramai menjalankan aktiviti serta pekerjaan seperti biasa.
“Cuma, aktiviti yang dilakukan itu dalam norma baharu dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) seperti memakai pelitup muka, mencatat saringan suhu dan kerap mencuci tangan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas cadangan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba kepada kerajaan agar melanjutkan pelaksanaan PKPP yang akan tamat hujung bulan ini.
Dr. Adham berkata demikian dengan merujuk kepada jangkaan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bahawa Covid-19 akan terus berkembang dalam tempoh dua tahun.
Baayah berkata, sekiranya PKPP tidak dilanjutkan dibimbangi wujud kluster baharu hingga mengakibatkan kerajaan terpaksa melaksanakan kembali Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menyeluruh.
“Jika PKP dilaksanakan semula, ia sememangnya memberi kesan kepada ekonomi negara kerana banyak sektor terpaksa dihentikan dan mengganggu pemulihan ekonomi yang sedang dilaksanakan kini,” katanya.

Sementara itu, penganalisis ekonomi dari Putra Bussiness School Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr. Abu Sofian Yaacob berkata, lanjutan PKPP tidak mengganggu ekonomi negara sebaliknya memberi kesan positif kepada kesihatan dan kesejahteraan rakyat.
Katanya, urus niaga perdagangan tetap berjalan seperti biasa namun ia perlu disesuaikan dengan norma dan kaedah baharu yang lebih selamat.
“PKPP ini patut diteruskan sehingga vaksin Covid-19 berjaya dijumpai dan semua negara yang terjejas akibat wabak itu dapat menurunkan kadar jangkitan ke tahap yang minimum.
“Jika kawalan dilonggarkan, kita bimbang rakyat akan rasa selesa sehingga mengabaikan SOP, tambahan pula melihat peningkatan kes yang berlaku baru-baru ini akibat tidak patuh kepada arahan kuarantin,” katanya.
Tambah beliau, sektor pelancongan domestik dilihat boleh memacu pertumbuhan ekonomi yang lebih baik berikutan rakyat mula memilih untuk melancong di dalam negara.
“Saya lihat sektor pelancongan menunjukkan petanda positif kerana ekonomi ini bergerak, apabila orang ramai melancong sektor lain seperti pengangkutan, makanan dan perhotelan turut sama berkembang,” ujar beliau. – UTUSAN










