Kerajaan dicadang sambung tempoh PKPP sehingga hujung tahun - Utusan Malaysia

Kerajaan dicadang sambung tempoh PKPP sehingga hujung tahun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang berakhir 31 Ogos ini perlu dilanjutkan bagi memastikan penularan pandemik Covid-19 di negara ini benar-benar terkawal.

Presiden Pertubuhan Doktor-doktor Islam Malaysia (Perdim), Datuk Dr. Ahmad Shukri Ismail berkata, setakat ini belum ada gambaran penularan wabak itu akan reda kerana munculnya beberapa kluster baharu sekali gus mencetuskan kebimbangan dalam kalangan rakyat.

“Perdim komited berhubung perkara ini dan memohon kerajaan supaya terus melanjutkan tempoh PKPP sehingga hujung tahun ini kerana kita memerlukan jangka masa panjang untuk memastikan penularan Covid-19 benar-benar dapat dikekang,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia semalam.

Terdahulu Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba mencadangkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) melanjutkan pelaksanaan PKPP yang akan tamat 31 Ogos ini.

Beliau berkata demikian dengan merujuk kepada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang menjangkakan Covid-19 akan terus berkembang dalam tempoh tidak kurang dua tahun.

Pakar Perubatan Kesihatan Awam di Jabatan Perubatan Tentera Hospital Tuanku Mizan, Kolonel Dr. Mohd Arshil Moideen pula menyifatkan lanjutan PKPP tersebut dapat meringankan tugas yang dihadapi oleh petugas kesihatan.

Kata beliau, sekiranya PKPP tidak dilanjutkan, mereka bakal berdepan dengan bebanan kerja yang lebih mencabar dalam mengekang pandemik itu.

“Bersabarlah dengan apa yang berlaku kerana kita tidak ada pilihan lain. Lagipun sudah banyak kelonggaran yang kerajaan beri untuk kita kembali kepada kehidupan seperti biasa.

“Selagi tidak ada vaksin selagi itu risiko kita terhadap pandemik ini tinggi. Patuhilah saranan kerajaan kerana ia adalah untuk kebaikan semua pihak.

“Di negara luar sudah berlaku gelombang kedua dan ketiga yang lebih teruk daripada kita,” katanya.

Sementara itu, pakar perubatan, Zulkornain Ahmad berpendapat, jika diteruskan, pelaksanaannya perlulah bersyarat seperti dilalui dalam fasa PKPP sekarang.

“Kebebasan tidak boleh diberikan sepenuhnya kerana kes jangkitan masih ada. Kalau dibiarkan peluang untuk wabak ini merebak adalah tinggi.

“Apapun keputusan kerajaan selepas ini sama ada dilanjutkan atau tidak, kita semua mesti berhati-hati,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN