Empat komoditi utama Kelantan diberi tumpuan - Utusan Malaysia

Empat komoditi utama Kelantan diberi tumpuan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi bersetuju menumpukan empat komoditi utama di Kelantan iaitu karas, buluh, koko dan lada bagi memajukan ekonomi negeri dan negara.

Menterinya, Datuk Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali berkata, sehubungan itu, pihaknya sedia untuk berbincang dengan lebih terperinci seperti memfokuskan kepada penanaman karas berkaitan penyediaan kaedah inokulasi bagi memastikan pokok itu menghasilkan gaharu yang berkualiti tinggi.

Katanya, kementerian juga bercadang menawarkan geran bahan inokulasi mulai tahun hadapan dan kerajaan negeri boleh menyediakan dana untuk proses tanaman semula menggunakan benih yang dibekalkan Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB) untuk tujuan terbabit.

“Bagi prospek buluh pula, cadangan Bandar Baru Dabong sebagai lokasi Hab Buluh Negara kita amat alu-alukan dan kementerian sedia memberikan bantuan kerana buluh ini mesti ditanam secara perladangan untuk memastikan bekalan yang konsisten.

“Kelantan boleh ambil peluang ini kerana industri buluh, pasaran antarabangsanya bernilai AS$65 bilion (RM273 bilion),” katanya.

Beliau berkata demikian dalam pertemuan bersama delegasi kerajaan negeri itu yang diketuai Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi, Teknologi Hijau dan Alam Sekitar Kelantan, Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail di Parlimen, kelmarin.

Selain itu, Mohd. Khairuddin berkata, kementerian juga berhasrat melanjutkan perbincangan secara lebih terperinci dengan kerajaan negeri untuk mengembangkan tanaman koko dan lada di negeri berkenaan.

Bagi tanaman koko, beliau sendiri amat berminat dengan industri penghasilan coklat yang merupakan sektor hiliran komoditi itu berikutan prospeknya yang amat baik selain memberikan peluang kepada usahawan tempatan kecil dan sederhana memasarkan produk mereka ke peringkat antarabangsa.

“Ia memang menjadi fokus saya untuk menjadikan Malaysia ini ‘Raja Coklat Asia’, dan untuk itu kita akan isytihar Langkawi sebagai Hab Coklat Malaysia,” katanya. – UTUSAN.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya