Bebas tuduhan memiliki cap palsu - Utusan Malaysia

Bebas tuduhan memiliki cap palsu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: “Saya bersyukur kepada Allah kerana penderitaan dialami selama ini terjawab.”

Demikian kata-kata Shahrizal Sukor, 39, sejurus keputusan Mahkamah Tinggi di sini hari ini melepas dan membebaskannya daripada tuduhan memiliki tujuh cap doktor palsu pada 2017.

Kata bekas juruteknik syarikat percetakan itu lagi, dia akan berbincang dengan peguam berhubung tindakan lanjut termasuk mengambil proses undang-undang terhadap pihak terlibat.

Terdahulu, Pesuruhjaya Kehakiman, Dr. Shahnaz Sulaiman membenarkan rayuan Shahrizal untuk mengetepikan sabitan hukuman penjara lima tahun dan denda RM15,000 yang dibuat Mahkamah Sesyen di sini pada 2019.

Mahkamah memutuskan demikian setelah pendakwaan gagal membuktikan wujudnya elemen kesalahan terhadap pertuduhan tersebut.

Berdasarkan kertas pertuduhan utama, lelaki itu didakwa memiliki tujuh cap doktor yang tidak sepatutnya berada dalam milikannya dengan niat digunakan bagi tujuan pemalsuan.

Bagi perbuatan dilakukan di sebuah rumah di Blok 18, Jalan Desa Kempas 1, Taman Desa di sini pukul 2.30 pagi, 5 Mei 2017, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 472 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Pertuduhan pilihan terhadapnya pula dibuat mengikut Seksyen 468 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Suriani Ujang manakala Shahrizal diwakili peguam bela, Abd. Rahim Ali dan Jihad Syahida Nadia Zakaria.

Pada 2017, polis Johor berjaya melumpuhkan sindiket mencetak dan menjual sijil cuti palsu yang tertera nama dan cap Hospital Sultanah Aminah (HSA) hasil penahanan empat lelaki antara 3 hingga 5 Mei pada tahun itu.

Siasatan dijalankan selepas pihaknya menerima aduan daripada pengurusan HSA yang menerima 40 sijil sakit palsu sejak 2016. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya