Bau busuk resahkan penduduk - Utusan Malaysia

Bau busuk resahkan penduduk

MOHD. Ali Hasan menunjukkan air longkang yang bertukar warna hitam dipercayai disebabkan pencemaran kilang di Sungai Manggis, Banting, Selangor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BANTING: Busuk dan jijik. Itu yang dapat digambarkan keadaan penduduk di sekitar Sungai Manggis di sini yang terpaksa menahan bau busuk dipercayai dari sebuah kilang kitar semula.

Kewujudan kilang kitar semula sejak Disember tahun lalu itu menjadi tanda tanya apabila premis yang hanya terletak kurang daripada 50 meter dari kawasan perumahan ‘dibenarkan’ beroperasi 24 jam sehari.

Kemuncaknya bermula pukul 7 petang apabila operasinya mengundang bunyi bising yang sangat kuat.

Bau seakan-akan bahan kimia dengan kotak busuk itu bukan sahaja mengancam penduduk setempat tetapi turut terjejas adalah lima buah sekolah yang terletak berhampiran.

Lebih mengejutkan, dipercayai di dalam kilang kitar semula seluas 46.4 hektar itu terdapat penempatan haram menempatkan kira-kira 1,500 pendatang asing termasuk wanita dan kanak-kanak yang tinggal di dalam kontena diubah suai.

Pemilik kilang juga didakwa bukan sahaja mengubah suai kontena sebagai tempat tinggal tetapi menyediakan sebuah kedai runcit bagi memudahkan pendatang asing membeli keperluan harian.

Seorang penduduk, Mohd. Ali Hasan, 42, berkata, bau busuk itu dikesan daripada air longkang yang dahulu jernih tetapi kini bertukar warna hitam.

Dakwanya, setelah disiasat, bau busuk itu datang daripada kilang kitar semula yang mana bukan sahaja penduduk sekitar terutama di Taman Bakti terjejas tetapi bau tersebut dapat dihidu sehingga jarak lima kilometer.

“Penduduk bersama Persatuan Tindakan Alam Sekitar Kuala Langat telah membawa perkara ini dalam perjumpaan dengan ketua kampung, ahli majlis, wakil kilang termasuk Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Banting, Lau Weng San pada 8 Ogos lalu.

“Dalam perjumpaan ini, kami meminta wakil kilang untuk mengemukakan Sijil Perakuan Kelayakan kerana mana-mana industri berat yang dibina jaraknya mestilah 300 meter daripada kawasan perumahan.

“Bagaimanapun, pemilik kilang gagal mengemukakan dokumen yang diminta dan berjanji akan menyerahkannya dalam tempoh 14 hari. Namun, sehingga sekarang tiada satu dokumen
pun yang kami terima,” katanya kepada Mingguan Malaysia.

Seorang lagi penduduk, Mohd. Faizul Saadon, 38, mendakwa, penduduk bukan sahaja menanggung bau busuk tetapi ancaman pekerja terdiri daripada warga asing.

“Kami mendapat tahu bahawa di bahagian belakang kilang ini terdapat kawasan kontena yang dijadikan tempat tinggal untuk pekerja. Isteri dan anak mereka juga ada di dalam kawasan itu.

“Selain itu, terdapat kolam mandi dan pasar raya di dalam premis tersebut. Kami tidak tahu daripada mana pemilik kilang mendapatkan bekalan air, mungkin membuat penyambungan haram daripada premis tersebut,” ujarnya.

Sementara itu, Shamsul Faidzul Samsudin,40, berkata, dia kecewa dengan semua pihak yang diberi tanggungjawab untuk menyelesaikannya dan membiarkan sahaja masalah menimpa penduduk.

“Kami tidak membantah pembangunan tetapi mempersoalkan bagaimana kilang ini boleh dibina berhampiran dengan perumahan malah tiada sistem perparitan dibuat,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya