RIYADH: Pihak berkuasa Arab Saudi mengerahkan penggunaan dron, kecerdasan buatan (AI) dan teknologi pengawasan canggih sepanjang musim haji tahun 2026 ini.
Langkah proaktif tersebut diambil bagi memantau pergerakan orang ramai, mengesan pelanggaran undang-undang, serta menyekat kemasukan individu tanpa izin ke kawasan tanah suci.
Memetik laporan akhbar tempatan Okaz pada Jumaat, kesemua teknologi canggih ini merupakan sebahagian daripada sistem keselamatan dan organisasi bersepadu.
Ia dilaksanakan khusus demi menjamin keselamatan jutaan jemaah haji yang berkumpul di tapak suci umat Islam itu pada setiap tahun.
Pihak berkuasa menggunakan kemudahan dron untuk menjejak dan menahan individu yang melanggar peraturan haji.
Selain itu, pesawat jenis sayap kaku turut ditugaskan untuk memantau cubaan masuk secara haram ke kawasan suci, selaras dengan slogan tegas kerajaan, ‘Tiada haji tanpa permit.’
Penggunaan dron ini dilaporkan amat membantu pasukan keselamatan memantau kawasan yang luas dengan pantas dan efisien.
Kelebihan ini membolehkan pasukan di lapangan menerima amaran segera sekiranya terdapat pergerakan mencurigakan atau percubaan menyusup masuk.
Sistem pengawasan moden berkenaan turut merangkumi rangkaian pintar yang dilengkapi kamera beresolusi tinggi dan peranti pengimejan terma.
Pada masa yang sama, pihak berkuasa Arab Saudi bergantung kepada sistem analisis kesesakan berasaskan AI.
Teknologi ini berfungsi untuk meramal kepadatan jemaah sebelum ia berlaku, membolehkan petugas mengalihkan laluan jemaah daripada laluan yang terlalu sesak.
Bagi memperkukuh lagi aspek keselamatan, teknologi pengecaman wajah turut digunakan secara meluas untuk mengenal pasti identiti individu di kawasan sekitar.- AGENSI










