SEREMBAN: DAP bersetuju jika Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan dibubarkan serta memulangkan mandat kepada rakyat bagi menyelesaikan krisis politik yang melanda di negeri ini.
Pengerusi DAP Negeri Sembilan, Anthony Loke Siew Fook berkata, situasi politik di negeri ini kini dilihat tidak lagi stabil susulan sokongan terhadap kerajaan negeri boleh ditarik balik pada bila-bila masa.
Menurutnya, mandat rakyat perlu dikembalikan bagi memutuskan untuk memilih pentadbir negeri yang baharu.
“Kita hanya ada sehingga Oktober untuk mengadakan sidang DUN dan dalam sidang itu apa pun boleh berlaku.
“Walaupun mereka kata masih memberi sokongan kepada kerajaan, kita tidak mahu mengambil risiko sekiranya kerajaan digulingkan atau bajet ditolak. Jadi bagi kita itu adalah satu keadaan yang cuba kita elakkan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Hi-Tea Bersama Menteri Pengangkutan Malaysia Merangkap Ahli Parlimen Seremban dan Pelajar Cemerlang SPM 2025 di Sikamat, di sini, hari ini.
Jumaat lalu, media melaporkan Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan mencadangkan agar DUN dibubarkan bagu meredakan krisis politik yang berlaku di negeri ini, jika Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin ingin mengembalikan semula mandat rakyat.
Beliau dilaporkan berkata, keadaan itu wajar dipertimbangkan sekiranya 14 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) parti itu sudah hilang kepercayaan terhadapnya.
Anthony Loke yang juga ADUN Chennah berkata, keputusan pembubaran bagaimanapun terletak di bawah kuasa Menteri Besar selepas mendapat pandangan kepimpinan tertinggi Pakatan Harapan (PH) termasuk Perdana Menteri serta perkenan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.
“Saya hanya memberi cadangan. Menteri Besar perlu membuat keputusan selepas berbincang dengan kepimpinan tertinggi PH dan mendapat perkenan Tuanku,” katanya.
Dalam pada itu, Ahli Parlimen Seremban itu berkata, PH Negeri Sembilan turut bersedia menghadapi sebarang kemungkinan termasuk bertanding secara ‘solo’ sekiranya berlaku Pilihan Raya Negeri (PRN).
Menurutnya, pengalaman mentadbir negeri itu secara solo selepas Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-14 membuktikan PH mempunyai kekuatan tersendiri bagi mempertahankan kerajaan negeri.
“Kita pernah bertahan walaupun hanya mempunyai majoriti kecil ketika krisis politik pada 2020. Itu menunjukkan PH ada kekuatan sendiri di Negeri Sembilan,” katanya.
Beliau dalam pada itu turut menjangkakan kemungkinan PRN di Negeri Sembilan diadakan serentak dengan Johor dan Melaka sekiranya berlaku pembubaran dalam tempoh terdekat.
“Seperti yang saya katakan ketika konvensyen PH di Johor minggu lepas, kami sudah jelas jika DUN Johor dibubarkan, Negeri Sembilan juga wajar mempertimbangkan pembubaran supaya pilihan raya dapat diadakan serentak kerana ia dapat menjimatkan kos,” katanya. – UTUSAN
// Habis










