Akar umbi tolak Bung Moktar ketuai UMNO Sabah - Utusan Malaysia

Akar umbi tolak Bung Moktar ketuai UMNO Sabah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR:  Meletakkan pemimpin yang mempunyai kes perbicaraan di mahkamah bagi mengemudi jentera UMNO dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah ibarat ‘membunuh parti.’

Ketua UMNO Bahagian Tuaran, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan berkata, tindakan tersebut juga disifatkan sebagai penghinaan besar terhadap rakyat Sabah sekali gus melanggar semangat autonomi UMNO Sabah yang dipersetujui semasa Perhimpunan Agung UMNO, tahun lalu.

“Tidak ada mana-mana parti yang mahukan seseorang yang mempunyai kes di mahkamah menjadi pemimpin parti dalam pilihan raya. Ini namanya strategi membunuh parti.

“Saya mahu beritahu kepada rakyat bahawa kita tidak boleh memilih pemimpin untuk pilihan raya akan datang tetapi tangannya ‘diikat’ di belakang dengan masalah tertentu yang terpaksa dijelaskan kepada rakyat,” katanya kepada pemberita dalam sidang akhbar di sebuah hotel di sini malam ini.

Beliau merujuk kepada kenyataan Pengerusi Barisan Nasional, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang mengumumkan Pengerusi UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin akan mengetuai jentera parti itu menghadapi PRN Sabah pada 26 September ini.

Abdul Rahman merangkap ahli Majlis Tertinggi UMNO itu berkata, beliau telah berhubung dengan Bung Mokhtar dan menyuarakan pandangan berkenaan malangnya seolah-olah tidak didengari.

“Bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman sudah menjelaskan berhubung semua dakwaan beliau di mahkamah tetapi beliau secara hormatnya menolak untuk menjadi ketua jentera UMNO Sabah…jadi UMNO Sabah akan berbincang siapa akan menjadi ketua parti dan kita mahu calon yang terbaik.

“Saya percaya Bung Mokhtar bijak dalam perkara ini kerana sudah lama dalam arena politik. Berdasarkan perbincangan sebelum dia tidak boleh buat keputusan tanpa berbincang dengan akar umbi,” katanya.

Pada 3 Mei tahun lalu, Bung Moktar berdepan dengan dua pertuduhan menerima rasuah sejumlah RM2.2 juta dan RM262,500 daripada ejen pelaburan, Madhi Abdul Hamid melalui isterinya, Datin Seri Zizie Ezette A. Samad sebagai dorongan bagi mendapatkan kelulusan daripada Kementerian Kewangan II untuk Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (FELCRA) membuat pelaburan RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual ketika beliau menyandang jawatan sebagai Pengerusi Bukan Eksekutif FELCRA.

Ahli Parlimen Kota Kinabatangan itu juga didakwa menerima suapan wang tunai berjumlah RM337,500 daripada seorang lagi ejen pelaburan Norhaili Ahmad Mokhtar, 42, melalui Zizie Ezette bagi tujuan sama.

Kesemua pertuduhan adalah mengikut Subseksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan. -UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya