97 peratus responden mahu hukuman pemandu mabuk ditingkatkan - Utusan Malaysia

97 peratus responden mahu hukuman pemandu mabuk ditingkatkan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Sebanyak 97 peratus responden soal selidik dalam talian mengenai pemandu mabuk bersetuju bahawa hukuman sedia ada yang terkandung dalam Akta Pengangkutan 1987 (Akta 333) tidak memadai.

Kaji selidik itu dijalankan dari 21 Mei hingga 4 Jun lalu dengan sebanyak 345,000 responden mengambil bahagian.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Ir. Dr. Wee Ka Siong berkata, sebagai contoh, seramai 324,489 responden mahu kerajaan meningkatkan kadar hukuman penjara, denda dan tempoh hilang kelayakan lesen memandu.

“Hampir 97 peratus memberi maklum balas yang positif dan bersetuju bahawa peruntukan hukuman sedia ada tidak memadai,” katanya ketika sesi jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Dr. Hasan Bahrom (PH-Tampin) yang meminta kerajaan menyatakan bilakah rang undang-undang berkenaan kes pemandu mabuk akan dibentangkan.

Ka Siong ketika bacaan kali pertama Akta Pengangkutan Jalan (Pindaan) 2020 pada 27 Julai lalu berkata, hukuman penjara bagi mereka yang memandu di bawah pengaruh alkohol atau dadah sehingga menyebabkan kematian dinaikkan kepada tempoh tidak kurang 10 tahun dan maksimum 15 tahun serta denda minimum RM50,000 sehingga RM100,000.

Untuk sabitan kali kedua atau seterusnya pula, hukuman penjara diperuntukkan selama tempoh tidak kurang daripada 15 tahun dan tidak lebih 20 tahun serta denda tidak kurang RM100,000 dan maksimum RM150,000.

Tambahnya lagi, bacaan kali kedua rang undang-undang itu akan dibuat dalam persidangan Dewan Rakyat kali ini. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya