fbpx

UMNO perlu rampas kembali Sabah 

MOHAMED Khaled Nordin
  • Oleh Juani Munir Bin Abu Bakar
  • 31 Julai 2020, 12:16 pm
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: UMNO Sabah perlu mengambil semula kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang penyandangnya melompat ke Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sebelum ini.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, UMNO Sabah juga perlu bersedia menebus kekalahan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) yang akan diadakan dalam masa terdekat.

“UMNO Sabah perlu bersedia menempah kemenangan, ambil balik semua kerusi yang melompat ke Bersatu sebelum ini. 

“Insya-Allah, UMNO BN (Barisan Nasional) akan tebus balik kerusi-kerusi tersebut,” katanya dalam status terbaharu Facebook beliau hari ini.

Pergolakan politik Sabah sejak dua hari lalu kian memuncak apabila Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal mengumumkan pembubaran DUN sekali gus PRN perlu diadakan dalam tempoh 60 hari.

Krisis di negeri itu mula tercetus apabila bekas Ketua Menteri, Tan Sri Musa Aman mendakwa mendapat sokongan 33 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan berhak menerajui kerajaan baharu.

Sebaliknya, Mohd. Shafie kemudian bertindak bertemu Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin bagi memperakukan permohonan pembubaran kerajaan serta PRN lebih awal dari tempoh lima tahun.

Pada PRU-14, BN Sabah hanya memperoleh 29 kerusi namun mendapat sokongan dua wakil dari Parti Solidariti Rakyat Sabah (Star) sekali gus memperoleh majoriti mudah bagi membentuk kerajaan.

Sebaliknya selepas tempoh 48 jam, enam ADUN BN keluar parti dan menyertai Parti Warisan Sabah (Warisan) dan menyokong Mohd. Shafie yang juga Presiden Warisan sebagai Ketua Menteri Sabah.

Tidak lama kemudian, UMNO Sabah menerima tamparan hebat sekali lagi apabila 13 wakil rakyat yang terdiri sembilan ADUN dan empat ahli Parlimen bertindak keluar parti pada Disember 2018, kemudian menyertai Bersatu. – UTUSAN ONLINE

 

Dikemaskini pada