Pemakai ‘gelang pink’ merayau diambil tindakan - Utusan Malaysia

Pemakai ‘gelang pink’ merayau diambil tindakan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Seorang lelaki berusia 24 tahun yang didakwa tidak menjalankan kuarantin wajib selepas pulang ke tanah air minggu lalu dikenakan tindakan oleh Jabatan Kesihatan negeri.

Ia susulan lelaki itu yang memakai gelang tangan merah jambu pengesanan Covid-19 kelihatan merayau di sekitar Kampung Bukit Tembakau, Umbai di sini selepas pulang dari Australia sehingga menimbulkan keresahan dalam kalangan penduduk kampung.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Antidadah negeri, Rahmad Mariman berkata, lelaki itu ditahan di rumahnya Ahad lalu untuk saringan lanjut.

Kata beliau, walaupun hasil ujian saringan pertama Covid-19 terhadap pemuda itu negatif, dia tetap dikenakan tindakan penguatkuasaan kerana melanggar perintah kuarantin di rumah.

“Dia perlu menunggu (keputusan ujian) saringan kedua. Apabila kedua-dua ujian saringan itu negatif, barulah individu terbabit boleh menanggalkan gelang pink kuarantin.

“Hanya Jabatan Kesihatan yang boleh tanggalkan gelang itu,” katanya ketika ditemui pada Op Hari Raya Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) di Melaka Sentral, di sini hari ini.

Difahamkan, lelaki tersebut baru beberapa hari tiba di kampung berkenaan setelah pulang dari Australia dan bekerja sebagai pemetik buah.

Rahmad berkata, pihaknya turut menjalankan proses sanitasi di premis yang dipercayai antara lokasi dikunjungi lelaki berkenaan. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya