Kantoi cuba seludup keluar 1,500 murai - Utusan Malaysia

Kantoi cuba seludup keluar 1,500 murai

EMPAT suspek ditahan ketika cuba menyeludup keluar 1,500 burung murai kampung berdekatan Pulau Besar, Melaka, hari ini. - UTUSAN/ RIZANIZAM ABDUL HAMID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Melaka dan Negeri Sembilan menahan dua bot dinaiki empat lelaki yang membawa 1,500 ekor burung murai kampung dipercayai cuba diseludup ke Indonesia, awal pagi ini.

Pengarahnya, Kepten Maritim Haris Fadzillah Abdullah berkata, pihaknya menahan bot dan suspek berdekatan perairan Barat Daya Pulau Besar, di sini dalam operasi khas pada pukul 2.15 pagi dengan keluruhan nilai rampasan dianggarkan lebih RM300,000.

”Semasa operasi itu, Maritim Malaysia mengesan dua bot fiber dalam keadaan mencurigakan.

“Bot-bot dinaiki empat lelaki berusia antara 33 tahun hingga 55 tahun itu ditahan di kedudukan kira-kira 1.9 batu nautika Barat Daya Pulau Besar,” katanya di sini hari ini.

Haris Fadzillah berkata, pemeriksaan lanjut mendapati suspek yang masing-masing dua warga Indonesia dan dua rakyat negara ini bertemu di tengah laut untuk menyeludup keluar burung murai tersebut.

Katanya, dua warga asing itu didapati pendatang asing tanpa izin (PATI) yang tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.

“Kesemua suspek ditahan bersama 1,500 ekor murai kampung dan dua bot fiber tanpa nombor pendaftaran.

“Mereka dipercayai menjalankan aktiviti penyeludupan burung didalangi sindiket warga tempatan untuk dipasarkan di Indonesia yang mendapat permintaaan tinggi,” katanya.

Tambahnya, kes disiasat mengikut Akta Perkhidmatan Kuarantin Dan Pemeriksaan Malaysia 2012 dan Akta Imigresen 1959/63. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya