Dadah RM37 juta dalam simen

Dadah RM37 juta dalam simen

HUSSEIN Omar Khan (tengah) menunjukkan ketulan simen mengandungi dadah jenis MDMA yang dirampas dalam serbuan di stor penyimpanan dadah yang beroperasi di sebuah rumah banglo di Jalan Tun Dr Ismail, Ipoh, semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Polis mematahkan cubaan sindiket antarabangsa menyeludup dadah jenis MDMA seberat 618.24 kilogram (kg) dianggarkan bernilai RM37.3 juta

Dadah yang telah diproses menjadi ketulan simen itu dijumpai dalam serbuan di stor penyimpanan dadah di sebuah rumah banglo di Jalan Tun Dr Ismail, Jumaat lalu.

Pengarah Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Datuk Hussein Omar Khan berkata, dalam serbuan itu, seorang lelaki dan wanita warga tempatan berusia lingkungan 30-an ditahan untuk siasatan lanjut.

Katanya, hasil pemeriksaan di kediaman itu menemukan dadah jenis methamphetamine seberat 843.33kg dan 679.22kg cecair dan serbuk disyaki bahan kimia serta pelbagai peralatan memproses dadah.

“Pemeriksaan lanjut di kawasan tempat letak kereta kemudiannya menjumpai 618.24kg lagi dadah yang diproses menjadi ketulan simen di mana analisis yang dijalankan mendapati bahan tersebut adalah dadah jenis MDMA.

“Ini adalah kali pertama kita menemui dadah yang disembunyikan di dalam simen walaupun pelbagai teknik pernah digunakan sebelum ini termasuk mencampurkan dadah dalam jus minuman, minyak zaitun dan kanvas,” katanya dalam sidang akhbar di pekarangan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di sini, semalam.

Menurut Hussein, sindiket didalangi warga asing itu dipercayai aktif sejak Disember 2024 dan menggunakan warga tempatan untuk menyewa kediaman elit sebagai lokasi strategik penyimpanan dadah selain bertindak sebagai koordinator dan penghantar (transporter)

Beliau berkata, sindiket ber­kenaan juga dipercayai membawa masuk bahan kimia dan peralatan memproses dadah dari negara luar dan mahu menjadikan negara ini lokasi menghasilkan bahan terlarang itu.

“Kita percaya dua suspek yang ditangkap telah digunakan oleh sindiket antarabangsa ini untuk membantu mereka dalam operasi stor penyimpanan dadah.

“Kita juga percaya mereka dalam proses untuk membina makmal dadah haram kerana di sini mengandungi prekursor yang kalau diproses dengan beberapa bahan kimia akan menjadi dadah,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN