Polis Thai rampas 100,000 liter diesel seludup

Polis Thai rampas 100,000 liter diesel seludup

POLIS Wilayah 9 dan agensi penguat kuasa tempatan merampas hampir 100,000 liter diesel dalam satu pemeriksaan di sebuah syarikat logistik Malaysia di Pekan Danok, Sadao, Thailand. – IHSAN POLIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

HAT YAI (THAILAND): Polis me­rampas hampir 100,000 liter diesel yang cuba di seludup ke Malaysia selepas menyerbu sebuah syarikat logistik dan pe­ngangkutan negara itu di sini, kelmarin.

Serbuan pada pukul 10 pagi itu dilakukan menerusi operasi bersepadu antara polis, Pejabat Gabenor Wilayah Songkhla, Kastam dan Eksais, Jabatan Te­naga Wilayah serta pihak berkuasa tempatan di sebuah premis di Ban Danok, Daerah Sadao.

Sumber Polis Wilayah 9 berkata, pemeriksaan itu dilakukan selepas laporan media sosial mendakwa syarikat yang mengendalikan treler antara Thai­land dan Malaysia menyimpan sejumlah besar bahan bakar berkenaan.

Katanya, pemeriksaan itu menjumpai hampir 100,000 li­ter diesel bernilai kira-kira 4.77 juta baht (RM956,980) yang disimpan di dalam tangki bawah tanah serta tong besar yang diletak di halaman pejabat pengangkutan terbabit.

“Apabila disoal siasat, pe­ngendali syarikat itu gagal me­nge­mukakan dokumen yang membuktikan kebenaran sah un­tuk menyimpan bahan bakar atau rekod yang menunjukkan asal usulnya.

“Penyiasat percaya diesel itu dibawa masuk dari Malaysia menggunakan treler syarikat sebelum kenaikan harga bahan bakar baru-baru ini, kemudian dipindahkan ke dalam tangki simpanan untuk digunakan da­lam operasi pengangkutannya.

“Polis memfailkan pertuduhan terhadap pemilik syarikat mengikut Akta Kawalan Bahan Api 1999 kerana gagal mengemukakan bukti mencukupi untuk menyimpan sejumlah besar bahan bakar itu,” katanya ketika dihubungi, semalam

Sumber itu berkata, pihaknya telah diarah meningkatkan kawalan di kawasan sempadan Thailand-Malaysia susulan harga diesel di negara ini lebih murah berbanding negara jiran.

Katanya, arahan dikeluarkan kepada semua agensi penguat kuasa di sempadan kedua-dua negara supaya memantau dan menghalang diesel Thailand daripada memasuki Malaysia.

“Pada masa lalu, ratusan ribu liter bahan bakar dari Malaysia yang diseludup melalui pusat pemeriksaan sempadan Sadao dan Padang Besar telah dirampas. Sebelum ini, harga bahan bakar Malaysia lebih murah, tetapi sekarang ini diesel Thailand lebih murah,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN