WASHINGTON: Pentagon mengesahkan menerima derma sebanyak AS$130 juta (RM549 juta) daripada seorang penderma yang enggan dikenali bagi membantu membayar gaji anggota tentera ketika kerajaan persekutuan ditutup, lapor media tempatan.
Langkah itu bagaimanapun mencetuskan kebimbangan etika, selepas Presiden, Donald Trump memaklumkan sumbangan berkenaan bertujuan menampung kekurangan dana gaji bagi 1.32 juta anggota tentera AS.
Menurut Trump, penderma tersebut merupakan seorang rakyatAS yang sangat menyokong beliau dan tidak mahukan publisiti.
“Beliau seorang yang dermawan dan patriotik, seorang lelaki yang hebat. Beliau tidak mahu namanya didedahkan, sesuatu yang agak luar biasa dalam dunia politik,” katanya kepada pemberita sebelum berlepas ke Asia semalam.
Jurucakap Pentagon, Sean Parnell mengesahkan derma tersebut diterima di bawah kuasa penerimaan hadiah umum jabatan itu.
“Sumbangan ini diberikan dengan syarat ia digunakan khusus untuk menampung kos gaji dan faedah anggota tentera,” katanya.
Laporan The New York Times mengenal pasti penderma tersebut sebagai bilionair dan penyumbang kewangan utama Trump, Timothy Mellon, .
Setakat ini, kerajaan AS telah ditutup selama 25 hari, menjadikannya antara penutupan terpanjang dalam sejarah negara itu selepas Kongres gagal meluluskan perjanjian pembiayaan baharu.
Minggu lalu, pentadbiran Trump menggunakan AS$8 bilion (RM33 bilion) daripada peruntukan penyelidikan ketenteraan untuk menampung gaji anggota tentera, namun tidak jelas bagaimana gaji seterusnya pada 31 Oktober akan dibayar.
Menurut peraturan Jabatan Pertahanan, sebarang derma melebihi AS$10,000 (RM422,348) perlu disemak oleh pegawai etika bagi memastikan penderma tidak mempunyai sebarang tuntutan, urus niaga pembelian, litigasi atau kepentingan lain yang boleh menimbulkan konflik kepentingan dengan jabatan berkenaan.
Derma daripada bukan warganegara AS pula perlu melalui proses penelitian tambahan.
Walaupun Pentagon pernah menerima sumbangan sebelum ini, kebiasaannya derma tersebut disalurkan kepada projek tertentu seperti sekolah, hospital, muzium atau tanah perkuburan tentera sekaligus menimbulkantanda tanya dalam kalangan ahli politik dan pemerhati. -AGENSI










