KHAN YOUNIS: Beberapa doktor di Hospital Nasser di selatan Gaza mendakwa jenazah 90 warga Palestin yang dipulangkan oleh pihak berkuasa Israel baru-baru ini menunjukkan tanda-tanda penyeksaan dan hukuman mati tanpa perbicaraan, termasuk mata ditutup, tangan terikat dan kesan tembakan di kepala.
Pemulangan mayat tersebut merupakan sebahagian daripada perjanjian gencatan senjata yang diusahakan oleh Amerika Syarikat (AS) dengan kumpulan Hamas turut menyerahkan kembali beberapa mayat tebusan Israel yang terbunuh sepanjang konflik.
Dua kumpulan yang masing-masing mengandungi 45 mayat rakyat Palestin dipindahkan ke Gaza menerusi Komite Palang Merah Antarabangsa (ICRC).
“Hampir semua mayat yang kami terima berada dalam keadaan mata ditutup dan tangan diikat.
“Mereka ditembak tepat di antara mata. Hampir semuanya dihukum bunuh,” kata Dr Ahmed al-Farra, Ketua Jabatan Pediatrik Hospital Nasser.
Katanya, terdapat juga kesan lebam, parut dan perubahan warna kulit yang menunjukkan mangsa dipukul sebelum dibunuh, selain tanda-tanda badan mereka disalah guna selepas kematian.
Dr Farra menyatakan tiada sebarang identifikasi diberikan bersama mayat-mayat berkenaan, dan hospital di Gaza yang mengalami kerosakan teruk akibat pengeboman dua tahun tidak mempunyai keupayaan menjalankan ujian DNA.
“Mereka tahu identiti mangsa, tapi sengaja tidak memberitahu agar keluarga terus menderita,” katanya.
Kesemua jenazah itu disimpan dalam peti sejuk di Israel dan dikembalikan hanya dengan label bernombor, tanpa nama. Usaha dijalankan untuk meminta keluarga warga Palestin yang hilang membantu proses pengecaman.
Mahkamah Jenayah Antarabangsa menjalankan siasatan terhadap dakwaan jenayah perang oleh kedua-dua pihak, termasuk insiden Mac lalu melibatkan pembunuhan 15 paramedik di Gaza.










