GAZA: Agensi Pertahanan Awam Gaza berkata, Israel melancarkan serangan udara ke wilayah itu walaupun gencatan senjata masih berkuat kuasa, selepas mendakwa Hamas menyerang tenteranya dan melanggar perjanjian yang ditaja Amerika Syarikat (AS).
Sekurang-kurangnya 18 orang terbunuh dalam serangan yang menyasarkan beberapa kawasan di Gaza, menurut agensi tersebut yang beroperasi di bawah pentadbiran Hamas.
Namun, Naib Presiden AS, JD Vance berkata, gencatan senjata ‘masih bertahan’ walaupun berlaku beberapa ‘pertempuran kecil’.
Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu mengarahkan serangan besar-besaran ke atas Gaza, manakala Menteri Pertahanannya, Israel Katz menuduh Hamas menyerang tentera Israel di wilayah itu.
“Serangan Hamas terhadap tentera IDF di Gaza hari ini melintasi garisan merah yang jelas, dan IDF akan bertindak balas dengan kekuatan besar,” kata Katz dalam satu kenyataan.
Katz tidak menyatakan lokasi serangan itu berlaku, namun Hamas menegaskan pejuangnya tidak terlibat dalam insiden tembakan di Rafah.
Agensi pertahanan awam Gaza berkata, sekurang-kurangnya tiga serangan udara dilancarkan, termasuk satu yang membedil kawasan belakang Hospital Al-Shifa.
Lima orang dilaporkan terbunuh apabila kenderaan mereka terkena peluru berpandu.
Hamas sebelum ini bersetuju untuk menyerahkan mayat seorang lagi tebusan pada Selasa seperti yang dituntut Israel di bawah perjanjian gencatan senjata.
Namun kumpulan itu kini menangguhkan penyerahan, mendakwa peningkatan serangan Israel akan menghalang pencarian dan penggalian mayat.
Rakaman AFP menunjukkan beberapa pejuang Hamas bertopeng muncul dari terowong membawa sebungkus plastik putih dipercayai berisi mayat tebusan, sambil diikuti orang ramai yang merakam dengan telefon bimbit.
Hamassudah menyerahkan 16 daripada 28 mayat tebusan yang dijanjikan, namun Israel mendakwa mayat terakhir yang diterima bukan tebusan baharu.
Menurut pejabat Netanyahu, analisis forensik mendapati mayat itu sebenarnya milik Ofir Tzarfati, tebusan yang sudah dipulangkan dua tahun lalu dalam satu operasi tentera.
Jurucakap kerajaan Israel, Shosh Bedrosian menuduh Hamas mereka-reka penemuan tersebut dengan menggali semula dan menyerahkan sisa mayat lama kepada Palang Merah.
“Hamas menggali lubang, meletakkan cebisan mayat Ofir di dalamnya, menimbus semula dan menyerahkannya kepada Palang Merah,” katanya.
Forum Keluarga Tebusan dan Hilang mendesak kerajaan Israel bertindak tegas terhadap pelanggaran ini sambil menuduh Hamas masih mengetahui lokasi baki tebusan.
Namun jurucakap Hamas, Hazem Qassem menolak tuduhan itu sebaliknya menegaskan pengeboman besar-besaran Israel sepanjang dua tahun lalu menghapuskan banyak lokasi, menyukarkan pencarian mayat.-AFP











