Warisan mendahului, BN dan GRS mengejar?

Warisan mendahului, BN dan GRS mengejar?

PERANG bendera parti-parti bertanding sekitar bandar Kota Kinabalu sempena Pilihan Raya Negeri Sabah Ke-17. – UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Parti Warisan (Warisan) dikatakan mendahului parti-parti lain dalam tinjauan awal PIlihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

Warisan dijangka menge­kalkan kemenangan 29 kerusi seperti PRN 2020 dan berpotensi menambahnya didorong oleh kekuatan jentera akar umbi Warisan di samping penguasaan kawasan Pantai TImur Sabah serta pengaruh kepemimpinan tertinggi parti yang masih mempunyai daya tarikan tersendiri.

Selain itu, Gagasan Rakyat Sabah (GRS) dengan naratif kesinambungan pembangunan, manakala BN bergantung kepada kekuatan tradisi dan jaringan politik lama masing-masing berada kedudukan kedua dengan mereka dijangka berpotensi untuk mengekalkan kerusi sedia ada.

Namun, PRN Sabah kali ini tidak terhad kepada parti-parti besar sahaja apabila kehadiran calon Bebas dijangka memainkan peranan signifikan, terutama di kawasan yang mempunyai isu setempat dan personaliti politik berprofil tinggi.

Di beberapa kerusi, calon Bebas bukan sahaja berpotensi memberikan saingan langsung kepada parti dominan, tetapi juga menjadi pemecah undi yang mampu mengubah keputusan akhir.

Begitu juga parti tempatan lain seperti UPKO, Star dan KDM yang dijangka boleh memena­ngi kerusi ditandingi sekali gus mencetus pola pengundian menarik dalam PRN Sabah kali ini.

PRN sebelum ini membuktikan bahawa sentimen pengundi Sabah sering memberi ruang kepada individu yang mempunyai rekod perkhidmatan baik tanpa mengira parti.

Secara keseluruhan, kedu­dukan Warisan sebagai peneraju ramalan minggu pertama PRN Sabah menggambarkan pertan­dingan sengit yang sedang berlaku.

Namun, sama ada momentum ini dapat dipertahankan bergantung kepada keupayaan parti tersebut mengurus sentimen pengundi sehingga hari pengundian, khususnya di kawasan-kawasan marginal.

PRN kali ini dijangka berlangsung dengan peluang kemena­ngan yang tipis di banyak kerusi dan keputusan akhir mungkin hanya dapat ditentukan pada peringkat akhir kempen atau dalam tempoh 48 jam terakhir sebelum hari pengundian. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×