PETALING JAYA: Sebanyak tiga daripada empat bilik pembedahan di Pusat Jantung Serdang (PJS), Selangor yang dilaporkan gagal berfungsi kegunaan pembedahan elektif dan kecemasan akan mula beroperasi bulan hadapan.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad mengesahkan perkara tersebut melalui satu hantaran ringkas di laman X hari ini.
“Dalam pada itu, perkhidmatan kardiologi angiogram di PJS dan rawatan kecemasan pesakit masih berjalan seperti biasa, menggunakan fasiliti di Hospital Sultan Idris Shah (Hospital Serdang),” katanya.
Terdahulu akhbar ini melaporkan, empat dewan bedah di bangunan baharu Pusat Jantung di Hospital Sultan Idris Shah, Serdang didakwa gagal berfungsi kerana masalah teknikal.
Sumber yang rapat dengan pusat jantung berkenaan mendakwa, kira-kira 1,000 prosedur pembedahan jantung tidak dapat dijalankan susulan masalah tersebut.
Dakwanya, aduan sudah banyak kali dibuat kepada pihak bertanggungjawab, namun masih tiada penyelesaian sehingga kini.
Difahamkan, bangunan baharu pusat jantung itu dibina dengan kos RM546 juta dan lengkap dengan dewan bedah hibrid serta peralatan terkini.
Susulan itu, satu mesyuarat antara kontraktor PJS dengan Kementerian Kesihatan (KKM) dan Kementerian Kerja Raya diadakan baru-baru ini dan pihak kontraktor memberi jaminan segala kerosakan dan kecacatan di fasiliti kesihatan terbabit dibaiki menjelang Jun ini. –UTUSAN











