Kementerian Pertahanan meterai perjanjian bernilai RM7.3 bilion

Kementerian Pertahanan meterai perjanjian bernilai RM7.3 bilion

MOHAMED KHALED NORDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kementerian Pertahanan menandatangani Perjanjian Persefahaman (MoU), Surat Setuju Terima (LOA), Surat Niat (LOI) dan Sistem Integriti Korporat Sijil Malaysia (CISM) berjumlah RM7.3 bilion.

Mou itu melibatkan 40 rakan strategik yang terdiri daripada 17 LOA bernilai RM3.3 bilion, tujuh kontrak bernilai RM1.9 bilion dan empat LOI bernilai RM1.83 bilion.

Pada majlis sama, Kementerian Pertahanan menandatangani 10 MoU bernilai RM280 juta dan dua CISM di Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Pameran Keselamatan Kebangsaan Asia (NATSEC Asia) 2024.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, hasil daripada majlis itu, Tentera Darat Malaysia (TDM) akan menerima 18 unit Senjata Berpandu Anti-Kereta Kebal – Jarak Sederhana (ATGW-MR) dari Tukiye.

Katanya, aset terbabit akan dilengkapi batalion infantri untuk meningkatkan keupayaan kuasa tembakan TDM.

“Bagi Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), kita akan menggantikan Sistem Radar Pengawasan Radar (ASR) dan sistem Pengurusan Trafik Udara (ATM) kepada sistem yang terkini.

“Sistem ini diperlukan dalam memastikan pergerakan keselamatan pesawat dan aliran trafik udara secara lebih cepat dan teratur.

“Aset ini juga akan membantu TUDM mengawasi ruang udara negara bagi mengekalkan kedaulatan negara dengan bantuan teknologi terkini,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Mengulas lanjut, Mohamed Khaled berkata, bagi Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), beberapa kontrak penyelenggaraan turut ditandatangani.

“Kontrak penyelenggaraan tersebut melibatkan tiga buah kapal TLDM iaitu KD Jebat, KD Perak dan KD Baung serta beberapa aset lain seperti helikopter dan kapal selam.

“Kerajaan juga dalam perancangan untuk menganugerahkan kontrak perkhidmatan dalam perkhidmatan untuk kapal selam kelas perdana bagi memastikan ia sentiasa bersedia dalam setiap misi,” ujarnya.

Tambahnya, kejayaan DSA dan NATSEC 2024 sepanjang tiga hari lalu menyerlahkan perkongsian simbiotik antara Kementerian Pertahanan, Angkatan Tentera Malaysia dan industri pertahanan.

“Seiring dengan majlis pada hari ini, Kementerian Pertahanan komited untuk menggalakkan integriti dan memerangi rasuah dengan mengamalkan ketelusan, tadbir urus baik dan etika perniagaan yang cemerlang dalam kalangan pemain industri khususnya kontraktor dan penyedia perkhidmatan yang terlibat secara aktif dengan perolehan pertahanan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN