Dakwa pelaku dengan segera kerana hina Raja Melayu - Utusan Malaysia

Dakwa pelaku dengan segera kerana hina Raja Melayu

AHMAD Maslan bersalaman dengan orang ramai di sebuah restoran sebelum menghadiri mesyuarat jawatankuasa persiapan Rumah Terbuka Aidilfitri Parlimen Pontian di Benut, Pontian.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PONTIAN: Badan Perhubungan UMNO Johor kesal dengan kenyataan seorang pemimpin sebuah parti yang tidak mengaminkan doa ketika solat Jumaat baru-baru ini berkaitan dengan Yang di-Pertuan Agong.

Timbalan Pengerusinya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, Islam mengajar umatnya untuk mengaminkan setiap doa yang dibaca untuk manfaat umat keseluruhannya.

“Tindakan individu terlibat perlu diambil tindakan dan diheret ke mahkamah, jika dibiarkan akan menjadi seperti api dalam seka’ kerana jelas satu penghinaan kepada institusi raja-raja Melayu,” katanya mengulas kenyataan seorang pemimpin sayap sebuah parti yang menyatakan tidak menadah tangan ketika doa dibacakan untuk Sultan dan Agong ketika solat Jumaat di negeri ini, baru-baru ini.

Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian berkata demikian ketika ditemui selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Persiapan Rumah Terbuka Aidilfitri Parlimen Pontian 2024 di Benut, dekat sini hari ini.

Pengarah Media Baharu Pemuda Pas Selangor, Hezry Yasin dilaporkan mendakwa doanya hanya diberi kepada pemimpin yang meletakkan agama sebagai nombor satu dan memperjuangkan serta mempertahankan Islam ketika agama diancam.

Ahmad yang juga Ketua UMNO Bahagian Pontian menyokong penuh tindakan Pemuda UMNO Johor yang mengarahkan 26 bahagian sayap di negeri itu  membuat laporan polis  terhadap pemimpin tersebut bermula hari ini.

“Laporan polis itu wajar sebagai tindak balas terhadap penghinaan kepada Yang di-Pertuan Agong dan Sultan Johor sebagai Ketua Agama dan Pemerintah Negeri Johor yang menaungi rakyat negeri ini.

“Bagai tidak serik-serik kerana masih ada pihak yang masih memainkan isu 3R yang menyentuh isu agama, raja dan kaum walaupun pelbagai peringatan telah dikeluarkan oleh pihak berkuasa,” katanya.

Beliau meminta semua pihak tidak terbawa-bawa sentimen politik kebencian ke dalam rumah Allah sebagai  tempat ummah beribadah dan merapatkan hubungan silaturahim. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN