PRN: PH-BN bangkit isu jual tanah, PN isu projek ‘gajah putih’ - Utusan Malaysia

PRN: PH-BN bangkit isu jual tanah, PN isu projek ‘gajah putih’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Terengganu antara negeri Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) jangka dapat menawannya dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) 12 Ogos ini.

Walaupun pemimpin Perikatan Nasional (PN) menjaja mereka dapat memenangi kesemua 32 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), BN dan PH tidak akan memberi laluan mudah kepada parti gabungan Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) terus menakluki ne­geri itu.

Pemimpin BN dan PH di Terengganu tidak mahu luka lama akibat kecundang di lapan kerusi Parlimen di Terengganu dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) terus membarah pada PRN depan.

Beberapa isu melibatkan kegagalan pemerintahan Pas di negeri ini dan beberapa isu membabitkan Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar sejak PRU14 dibangkitkan oleh BN dan PH sepanjang kempen PRN.

Antara isu disuarakan pemimpin BN dan PH di atas pentas ceramah adalah berkaitan dakwaan penjualan tanah milik kerajaan negeri seluas 11,299 meter berdekatan bangunan Pas di bandar raya ini yang bernilai RM29 juta dijual kepada Persatuan Isteri Wakil Rakyat dan Bekas Wakil Rakyat Terengganu (Khairunnisa) dengan hanya RM500,000.

Berdasarkan laporan sebelum ini, keputusan menjual tanah di kawasan strategik di bandar raya ini diputuskan Ahmad Samsuri dan Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.

PENJUALAN TANAH

Sementara itu, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) turut mengesahkan sedang giat menjalankan siasatan berhubung dakwaan penjualan tanah tersebut.

BN dan PH juga tidak ketinggalan membangkitkan isu kerajaan negeri tidak melakukan pembangunan dalam tempoh lima tahun ini selepas mengambil alih daripada BN.

Dalam tempoh itu, kerajaan Pas itu juga didakwa tidak membawa pelabur asing untuk membangunkan projek industri bagi membolehkan lebih ramai belia mendapat pekerjaan.

Keadaan itu menyebabkan ramai belia terpaksa berhijrah ke negeri lain untuk mencari peluang pekerjaan.
Bagaimanapun Pas juga tidak ketinggalan mendedahkan ke­pincangan kerajaan di bawah bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said.

Ahmad Samsuri sebelum ini menegaskan kerajaan pimpinannya terpaksa meneruskan semula beberapa projek ‘gajah putih’ ditinggalkan bekas Menteri Besar itu.

Dalam tempoh lima tahun, Ahmad Samsuri mendakwa kerajaan negeri terpaksa menggunakan sebahagian besar perbelanjaan untuk menyi­apkan projek-projek ‘gajah putih’ dan tidak dapat melaksanakan projek baharu.

Bagaimanapun, kata Menteri Besar Terengganu itu, kerajaan negeri selepas ini akan mula membangunkan Terengganu dengan projek-projek baharu untuk kepentingan rakyat termasuk menawarkan lebih ba­nyak peluang pekerjaan kepada golongan muda sekiranya diberi peluang kekal memerintah pada penggal baharu ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×