Pemimpin Pas Terengganu panaskan semula isu basi

Pemimpin Pas Terengganu panaskan semula isu basi

Isu pembelian bas dua alam pada zaman pemerintahan kerajaan Barisan Nasional (BN) dimainkan semula oleh Pas menjelang pilhan raya negeri tidak lama lagi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISU bas dua alam Amphicoach yang berfungsi di darat dan air yang dibeli oleh kerajaan Terengganu dengan harga RM2.7 juta pada 2018 lalu kembali menjadi bahan kempen Pas menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi.

Pemimpin Pas di Terengganu bertindak sedemikian kerana mereka sebenarnya ketandusan isu apabila masih lagi mempersoalkan pembelian bas dua alam tersebut oleh pemimpin UMNO sebelum ini di pentas-pentas ceramah menjelang kempen PRN.

Isu pembelian bas dua alam itu sebenarnya telah selesai apabila kerajaan Pas yang mengambil alih kerajaan negeri selepas itu membatalkan pembelian bas tersebut atas faktor kelewatan projek dan keselamatan.

Selain itu, masih banyak isu basi cuba dipanaskan semula oleh pemimpin Pas untuk memburuk-burukkan pemimpin UMNO bagi meraih sokongan pengundi di negeri ini.

Tindakan pemimpin Pas itu dikatakan bertujuan menutup kelemahan kerajaan Pas yang diterajui oleh Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar selepas mengambil alih kerajaan selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu.

Dalam tempoh lima tahun itu, Ahmad Samsuri tidak membawa banyak perubahan di Terengganu dan beliau seolah-olah kekeringan idea untuk membangunkan negeri ini dalam pelbagai bidang berbanding kerajaan Barisan Nasional (BN) terdahulu.

Sebaliknya, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ru Rendang itu hanya meneruskan program-program pembangunan sosial dan ekonomi yang dilaksanakan kerajaan BN terdahulu sahaja.

Pemimpin Pas sepatutnya menceritakan kepada rakyat di pentas ceramah PRN mengenai pembangunan yang telah mereka laksanakan dan perancangan baharu sekiranya memenangi PRN nanti untuk meningkatkan ekonomi serta taraf hidup rakyat.

Bekas Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said mendakwa pemimpin Pas sekarang hanya menyiap dan merasmikan projek yang dibangunkan oleh pemimpin BN terdahulu.

Malah Ahmad berkata, pemimpin Pas semasa menjadi pembangkang sebelum ini membuat pelbagai tuduhan kononnya projek pembangunan yang dirancang dan dibina itu membazirkan duit rakyat, tetapi sekarang mereka berbangga dengan mendakwa projek tersebut dibina serta disiapkan kerajaan Pas sekarang.

Bagaimanapun, kebanyakan rakyat di Terengganu mengetahui perkara sebenar di sebalik pembinaan projek-projek pembangunan tersebut dan mereka boleh menilai kemampuan pemimpin Pas dalam menguruskan kepentingan rakyat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×