Perak harap yang terbaik daripada wakil teramai dalam Kabinet, Parlimen

Perak harap yang terbaik daripada wakil teramai dalam Kabinet, Parlimen

ANWAR Ibrahim dan Ahmad Zahid Hamidi antara ahli Parlimen dari Perak yang berada dalam Kabinet Persekutuan. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PEMBENTUKAN kerajaan perpaduan selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) menyaksikan Perak paling ramai mempunyai pemimpin bertaraf menteri termasuk Prdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri.

Ketika Ahli Parlimen Tambun, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri, timbalannya pula ialah Ahli Parlimen Bagan Datuk, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

Empat lagi menteri juga dari Perak iaitu bekas Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir dilantik sebagai Menteri Luar Negeri dan Pengerusi DAP Perak yang juga Ahli Parlimen Teluk Intan, Nga Kor Ming (Menteri Pembangunan dan Kerajaan Tempatan).

V. Sivakumar selaku Ahli Parlimen Batu Gajah dilantik sebagai Menteri Sumber Manusia dan Ahli Parlimen Tanjung Malim, Chang Lih Kang pula menjawat Menteri Sains, Inovasi dan Teknologi.

Ahli Parlimen Lenggong, Datuk Seri Shamsul Anuar Nasarah baru sahaja diumumkan sebagai Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup.

Malah, Ketua Pembangkang di Dewan Rakyat juga dari Perak iaitu Ahli Parlimen Larut, Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Dengan begitu ramai barisan pemimpin dari Perak yang berada dalam Kabinet dan berperanan di Parlimen, rakyat mahu melihat impak daripada mereka khususnya dalam memajukan ekonomi negeri.

Paling utama jangkaan rakyat sudah tentulah para menteri ini mampu menarik pelabur sekali gus membawa kemajuan kepada negeri Perak.

Pelantikan mereka terutama Perdana Menteri dan timbalannya dari Perak diyakini dapat melonjakkan kemajuan dalam negeri Perak dan diharapkan akan memberi keyakinan kepada pelabur untuk melihat Perak sebagai tempat pelaburan baharu di Malaysia.

Ini bertepatan dengan usaha kerajaan negeri yang membuat persiapan untuk menarik pelabur bagi mengisi tapak industri yang dibina.

Bagi kawasan Parlimen yang diwakili pula, rakyat setempat yang memilih mereka pastinya ternanti-nantikan bentuk pembangunan yang akan dibawa terutama di Parlimen Tambun, kawasan Perdana Menteri.

Bagi penduduk Bagan Datuk, dengan pelantikan sekali lagi Ahmad Zahid sebagai Timbalan Perdana Menteri, mereka mengharapkan beberapa projek pembangunan yang dibatal dan ditangguhkan sebelum ini dapat diteruskan semula.

Semasa perubahan kerajan selepas PRU14, beberapa projek pembangunan di daerah Bagan Datuk bernilai RM1.04 bilion yang dirancang sebelum ini di bawah peruntukan Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11) dibatalkan dan dikaji semula oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Kesemua projek pembangunan yang dirancang untuk dilaksanakan di daerah Bagan Datuk terpaksa dikaji semula berdasarkan keperluan dan implikasi kewangan kepada kerajaan ketika itu selain kajian analisis kos faedah juga telah dilaksanakan untuk setiap projek yang dirancang.

Sebagai pencetus kepada projek-projek pembangunan tersebut, sudah tentu Ahmad Zahid mahu melihat apa yang beliau rancangkan sebelum ini menjadi kenyataan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN