Tempias pecah undi punca Rina tewas di Sepang

[ANALISIS] Tempias pecah undi punca Rina tewas di Sepang

RINA Harun ketika berarak dengan penyokong PN pada hari penamaan calon PRU15 di Dewan Komuniti Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang, Selangor, baru-baru ini. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KETIKA Datuk Dr. Radzi Jidin mampu ceria menumbangkan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor di Putrajaya, kisah berbeza pula menimpa rakannya, Datuk Seri Rina Mohd. Harun.

Kekalahan beliau di kerusi berjiran, Sepang bukan sahaja mengejutkan penyokongnya, malah tidak diduga pengundi tegar Pakatan Harapan (PH) sendiri berdasarkan senario semasa.

Meskipun pada peringkat awal kempen terpalit isu kontroversi ‘lari’ dari Titiwangsa setelah cuma sepenggal berada di situ, beliau kemudian dilihat ada potensi cerah untuk menang bergaya.

Jentera Perikatan Nasional (PN) dilihat gigih mempromosikan Ketua Wanita blok siasah itu sebagai anak jati tempatan tetapi faktor tersebut langsung tidak dipandang pun majoriti pengundi.

Bahkan, calon PH, Aiman Athirah yang langsung bukan penduduk Sepang itu pula masih lagi boleh menang selesa apabila menerima 56,264 undi dengan memperoleh majoriti 8,946 undi.

Walaupun dari segi statistiknya, majoriti PH untuk pilihan raya umum (PRU) kali ini merosot berbanding pada 2018 yang meraih 18,705 undi, jumlah undi diterima blok ini tetap melonjak.

Sekadar rekod, ketika PRU14, calon PH, Mohamed Hanipa Maidin mempertahan kerusi itu untuk penggal kedua dengan 46,740 undi sahaja bagi membenamkan dua lagi calon lawan.

Untuk PRU15, persaingan lapan penjuru ternyata memberi kelebihan kepada PH apabila undi untuk PN dan seterunya, Barisan Nasional (BN) berpecah dikongsi oleh lima calon lain.

Hakikatnya, isu anak tempatan bukanlah menjadi faktor penentu bagi membolehkan menang kerana calon BN itu sendiri, yang juga berasal dari Sepang, Anuar Basiran pun tetap tewas.

Berdasarkan pemerhatian, pengundi tidak peduli profil calon sama ada orang luar atau tempatan tetapi mereka memilih disebabkan pelbagai faktor sentimen dan melihat imej jenama parti.

Kekalahan Rina itu namun bukanlah pelik bahkan dapat dirasai pada hari pengundian awal melibatkan sejumlah 1,850 anggota dan pegawai polis dari dua ibu pejabat di daerah Sepang.

Majoriti undi di sini jelas memihak kepada BN manakala di kawasan yang ramai pengundi kaum Cina dan India, corak sokongan mereka tetap ‘totok’ tidak berganjak langsung kepada PH.

Hasilnya, menjelang pukul 6 petang pada 19 November lalu, jentera PN sudah dapat ‘hidu’ kekalahan Rina apabila semua bendera dan gegantung parti dicabut lebih awal sebelum senja.

Suasana di Pusat Penjumlahan Rasmi Undi di Dewan Komuniti Bandar Baru Salak Tinggi sebaliknya dipenuhi puluhan penyokong fanatik PH yang teruja Aiman mencipta kejutan besar.

Kesimpulannya Sepang memberi isyarat bahawa mereka tidak peduli latar calon, namun membuktikan perpecahan undi PN dan BN mampu mengajar erti landskap politik yang matang. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN