PRU15 tentukan nasib BN, PN, PH

PRU15 tentukan nasib BN, PN, PH

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Apa jua keputusan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) pada 19 November ini, ia akan menjadi penentu kepada hala tuju masa depan semua gabungan parti politik yang bertanding.

Ini pernah berlaku kepada beberapa gabungan politik sebelum ini seperti Gagasan Rakyat dan Angkatan Perpaduan Ummah serta Parti Semangat 46 (S46) yang dibubarkan pada 1996 selepas tewas dalam PRU 1990 dan PRU 1995.

Malah, pembubaran S46 disusuli dengan tindakan presidennya, Tengku Razaleigh Hamzah bersama majoriti ahlinya menyertai semula UMNO.

BN pula terkesan dengan keputusan PRU14 apabila kekalahannya menyaksikan Datuk Seri Najib Tun Razak meletak jawatan sebagai Pengerusi BN dan Presiden UMNO kemudian digalas oleh Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Malah, BN kehilangan sejumlah besar rakan komponennya iaitu UPKO, Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Demokratik Liberal (LDP), Parti Progresif Penduduk (myPPP), Parti Gerakan manakala PBB, SUPP, PRS and PDP menubuhkan Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Bukan itu sahaja, kekalahan itu juga mendorong beberapa pemimpin ahli Parlimen UMNO melompat menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Ini jelas menunjukkan keputusan PRU15 dijangka memberi kesan besar kepada kesemua gabungan parti politik yang bertanding kali ini.

BN

BN bertanding 178 kerusi Parlimen dan 117 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam PRU15.

Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan pernah mengatakan PRU15 merupakan peluang terakhir untuk parti itu kembali membentuk kerajaan Persekutuan.

Katanya, jika BN gagal meraih kemenangan dalam pilihan raya kali ini, peluang untuk memenanginya pada pilihan raya akan datang menjadi lebih sukar dan beliau sanggup melepaskan jawatan jika BN mengalami kekalahan pada PRU15.

Jika menang, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dijangka kembali dilantik sebagai Perdana Menteri, walaupun ada yang mendakwa Zahid yang akan memegang jawatan tersebut, dakwaan yang dinafikan sekeras-kerasnya oleh BN.

Malah, Ismail Sabri dijangka menyenaraikan muka-muka baharu dalam Kabinet selepas bekas menteri seperti Tan Sri Noh Omar, Datuk Seri Shahidan Kassim, Tan Sri Annuar Musa dan Datuk Seri Dr. Adham Baba tidak lagi bertanding mewakili BN di peringkat Parlimen.

Namun, jika BN gagal meraih kerusi mencukupi untuk membentuk majoriti, mereka dijangka mewujudkan pakatan dengan pihak lain seperti GPS dan Pas, walaupun dakwaan mereka akan bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) untuk membentuk kerajaan Persekutuan dinafikan oleh kedua-dua pihak.

Jika tewas, BN dijangka melalui proses pembaharuan terutamanya melibatkan jawatan pucuk pimpinan parti, menerusi pemilihan yang akan diadakan enam bulan selepas PRU15.

PN

Perikatan Nasional (PN) bertanding 149 kerusi Parlimen dan 116 kerusi DUN dalam PRU15.

Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin pernah menyatakan kesediaannya untuk berundur daripada politik selepas PRU15, sekali gus menyaksikan PN akan diterajui oleh muka baharu.

Beliau bagaimanapun dijangka kembali dilantik sebagai Perdana Menteri jika PN meraih kemenangan dalam pilihan raya kali ini.

Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Datuk Seri Hamzah Zainuddin, Datuk Dr. Radzi Jidin, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dijangka memegang jawatan menteri kanan dalam Kabinet.

Malah, beberapa muka baharu dijangka mengisi jawatan menteri seperti Datuk Seri Shahidan Kassim dan Datuk Wan Saiful Wan Jan.

Jika PN gagal meraih majoriti, PN dijangka bekerjasama dengan beberapa pihak seperti GPS namun mereka dilihat masih terbuka bekerjasama dengan BN.

Sekiranya PN tewas, dijangka berlaku beberapa perubahan kepada pucuk pimpinan parti, sama ada Azmin atau Hamzah akan mengetuai Bersatu dan PN.

PH

PH yang diwakili PKR, DAP dan Amanah, UPKO dan pakatan pilihan raya dengan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) bertanding 206 kerusi Parlimen dan 116 kerusi DUN dalam PRU15.

Jika menang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka dilantik sebagai Perdana Menteri, selepas hampir 25 tahun menunggu jawatan berkenaan.

Kemenangan itu juga membolehkan pemimpin komponen PH, Lim Guan Eng, Mohamad Sabu, Datuk Dr. Dzulkefly Ahmad dan Maszlee Malik dijangka kembali memegang jawatan menteri kanan di Kabinet.

Muka-muka baharu juga bakal diketengahkan sebagai menteri antaranya Rafizi Ramli, Nurul Izzah Anwar dan Fahmi Fadzil.

Jika tidak cukup majoriti, PH dijangka mengadakan kerjasama dengan parti lain seperti Warisan jika parti itu meraih kerusi majoriti di Sabah, namun tidak mustahil PH bekerjasama dengan pihak lain seperti BN, PN dan GPS.

Sekiranya tewas, Anwar kemungkinan besar akan mengundur diri daripada politik, dengan Rafizi bakal mengetuai PKR dan PH manakala Anthony Loke Siew Fook dijangka memimpin DAP, sementara Amanah juga mungkin akan melantik presiden baharu.

Parti-parti lain

Gerakan Tanah Air (GTA) yang menggunakan lambang Pejuang bertanding sebanyak 116 kerusi Parlimen dan 45 kerusi DUN dalam PRU15 dijangka meraih beberapa kerusi, namun tidak akan mencukupi untuk membentuk kerajaan.

Justeru, GTA kemungkinan besar akan mengadakan kerjasama dengan PH, PN atau Warisan. Namun jika tewas, Tun Dr. Mahathir Mohamad dijangka berundur dan tempatnya akan diisi oleh anaknya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Begitu juga dengan Warisan yang bertanding 52 kerusi Parlimen dan 18 kerusi DUN, dengan Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal akan terus menerajui partinya walaupun tewas dalam PRU15.

Parti Bangsa Malaysia (PBM) yang hanya bertanding lima kerusi Parlimen dan dua kerusi DUN dijangka menjadi salah sebuah parti komponen antara BN, PN, atau PH, bergantung kepada gabungan mana yang berjaya membentuk kerajaan.

Bagi 108 calon Bebas yang bertanding di kerusi Parlimen termasuk Tian Chua, mereka akan menjadi rebutan semua parti jika meraih kemenangan. Namun jika tewas, majoriti calon Bebas akan dilupakan oleh para pengundi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN